
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching, Sabtu lalu, dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi menghadapi tiga pertuduhan.
- Siasatan kemalangan membabitkan enam kenderaan telah dilengkapkan.
- Suspek ditahan selepas menerima rawatan di hospital swasta kerana gegaran otak.
- Kereta melanggar belakang kereta perlahan, turut membabitkan motosikal dan tiga kenderaan lain.
- Seorang kanak-kanak perempuan lima tahun, Asiah Ahmad Syahir, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.
Lelaki berusia 24 tahun itu tiba di mahkamah pada pukul 8.55 pagi dengan tangan bergari.
Pada Selasa, polis memaklumkan siasatan kemalangan membabitkan enam kenderaan itu telah dilengkapkan.
Suspek ditahan semalam selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta, akibat gegaran otak susulan nahas berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang Sabtu lalu, kereta yang dipandunya dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kereta yang bergerak perlahan dalam aliran trafik dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.
Pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum kereta berkenaan berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain.
Akibat kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Asiah Ahmad Syahir, yang menaiki kereta berkenaan bersama bapanya mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).