Malaysia sasar 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Malaysia menyasarkan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa kepada kira-kira 250,000 orang menjelang 2030, berbanding sekitar 170,000 pelajar ketika ini dari 180 negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha mempelbagaikan negara asal pelajar untuk mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi pilihan pendidikan tinggi antarabangsa.
  • Bukan lambakan, tetapi tumpuan pada menjadi destinasi pilihan berkualiti untuk pelajar antarabangsa.
  • iFUTURE 2026 menghimpunkan lebih 1,200 pemimpin pelajar universiti, termasuk peserta antarabangsa dari 60 negara.
  • Sektor pendidikan tinggi antarabangsa mampu menjana sekurang-kurangnya RM16 bilion setahun dan limpahan ekonomi kepada peniaga.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, usaha itu turut memberi penekanan kepada kepelbagaian negara asal pelajar bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pendidikan tinggi antarabangsa.

“Kita cuba mempelbagaikan taburan pelajar yang datang ke Malaysia. Apabila kita menerima pelajar dari pelbagai negara, Malaysia menjadi destinasi pilihan yang baik untuk mereka belajar.

Bukan lambakan, tetapi lebih kepada destinasi pilihan yang baik untuk mereka datang belajar,” katanya selepas majlis penutupan International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di sini.

Program selama tiga hari bermula 11 Oktober itu menghimpunkan lebih 1,200 pemimpin pelajar universiti awam dan swasta, termasuk peserta antarabangsa dari 60 negara.

Sementara itu, sektor pendidikan tinggi antarabangsa turut berpotensi merangsang pelbagai aktiviti ekonomi negara.

“Unjuran menunjukkan sektor ini mampu menjana sekurang-kurangnya RM16 bilion setahun dari segi ekonomi, termasuk kesan limpahan daripada pelbagai aktiviti ekonomi lain yang turut menjana pendapatan kepada golongan peniaga dan sebagainya,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.