OBK rekod rampasan RM350.06 juta bagi tempoh enam bulan

Foto BERNAMA

LANGKAWI, 13 Oktober – Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) merekodkan kejayaan dengan jumlah rampasan bernilai RM350.06 juta bagi tempoh April hingga September 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama strategik agensi penguatkuasaan terbukti berkesan melalui perkongsian risikan, kepakaran dan penyelarasan tindakan kolektif.
  • Aktiviti penyeludupan dan perdagangan haram mengancam keselamatan negara, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
  • OBK dilancarkan pada 3 September 2019, melibatkan PDRM, JKDM dan PERHILITAN untuk memperkukuh usaha membanteras jenayah khazanah negara.
  • PDRM menegaskan tindakan tegas terhadap pemburu haram dan usaha memutus rantaian penyeludupan bagi memelihara khazanah negara dan warisan generasi akan datang.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik agensi penguatkuasaan dalam membanteras kegiatan penyeludupan, perdagangan haram serta jenayah yang mengancam khazanah alam dan sumber negara.

Kegiatan berkenaan juga bukan sahaja mengakibatkan ketirisan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan negara, kelestarian alam sekitar dan mengganggu kesejahteraan masyarakat.

Tambahnya, sinergi antara agensi melalui perkongsian maklumat risikan, kepakaran, keupayaan operasi serta penyelarasan tindakan secara kolektif merupakan kekuatan utama dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan dan perlindungan khazanah negara.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap pemburu haram dan segala bentuk kegiatan yang menyalahi undang-undang. Kita juga berusaha memutuskan rantaian penyeludupan bagi memastikan khazanah negara terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat OBK Siri 20 Bil. 2/2026 di sini pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Almirulita Mohd Yusuff serta Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Fakhrul Hatta Musa.

OBK dilancarkan 3 September 2019 dengan penglibatan PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan PERHILITAN bagi memperkukuh usaha membanteras jenayah terhadap khazanah negara.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohd Yusri turut menyeru masyarakat supaya berkerjasama dengan dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan, perdagangan haram hidupan liar serta jenayah lain yang boleh menjejaskan khazanah negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.