Belanjawan 2027 bukti keprihatinan kerajaan terhadap pekerja gig

Foto RTM

MELAKA, 13 Oktober – Pakej bernilai RM160 juta menerusi Belanjawan MADANI 2027 yang dijangka meningkatkan pendapatan bersih penghantar p-hailing sebanyak RM100 sebulan disambut baik golongan pekerja gig di Melaka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif belanjawan dijangka mengurangkan beban kos operasi seperti bahan api dan penyelenggaraan motosikal.
  • Penghantar menghargai pengumuman PM, berharap kadar tambang dinaikkan agar lebih setimpal dengan kos.
  • Langkah kerajaan bertujuan menangani cabaran pendapatan pekerja gig dan pemandu e-hailing dijangka menikmati peningkatan pendapatan bersih.

Tinjauan RTM mendapati mereka berharap inisiatif berkenaan dapat membantu mengurangkan beban kos operasi, khususnya perbelanjaan bahan api dan penyelenggaraan motosikal, selain meningkatkan pendapatan mereka.

Salah seorang, penghantar p-hailing, Arif Amin berkata bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan harian yang ditanggung bagi menjalankan tugas menghantar makanan.

“Benda itu sedikit sebanyak membantu kita sebagai rider berjimat dari segi minyak hitam, kos minyak dan sebagainya.

“Sekurang-kurangnya, kita tidak terlalu terbeban untuk mencari rezeki pada masa akan datang,” katanya.

Seorang lagi penghantar p-hailing, Muhammad Hanafi Al-Hadi berkata beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman inisiatif berkenaan yang disifatkan dapat membantu pekerja gig yang terkesan dengan cabaran pendapatan.

Bagaimanapun, beliau berharap kadar tambang penghantaran turut diberi perhatian supaya lebih setimpal dengan kos dan usaha yang ditanggung penghantar.

“Pertama saya, saya ucapkan terima kasihlah kepada PMX atas apa yang Belanjawan yang dia sampaikan. Yang itu sedikit sebanyak membantu lah pada rider-rider kita yang terkesan lah.

“Sebab tambang pun kalau boleh kita nak naikkan yang selama ini rendahlah apa semua. Kita daripada para penghantar p-hailing ini ucapkan terima kasihlah apa semua,” katanya.

Bagi Muhammad Firdaus Muhammad Najib, bantuan itu amat bermakna kepada penghantar makanan yang tetap menjalankan tugas dalam pelbagai keadaan cuaca demi memenuhi keperluan pengguna.

“Bersyukurlah jika Perdana Menteri bagi Belanjawan yang macam itu. Jadi membantu sedikit sebanyaklah pasal kita rider ini faham-faham sahajalah, walaupun pekerjaan apa orang kata kerja biasa sahaja, tapi kalau tak ada rider penghantar makanan ini, kadang hujan panas pun kita redah juga, kita hantar makanan.

“Jadi amat membantulah kalau orang-orang yang sibuk perlukan makanan dan sebagainya. Jadi kita harap dengan Belanjawan ini dapat membantu lagi kita punya pendapatan untuk tahun akan datang ini dan tahun-tahun seterusnya,” katanya.

Menerusi Belanjawan MADANI 2027, pemandu e-hailing pula dijangka menikmati peningkatan pendapatan bersih sehingga RM227 sebulan.

Pakej berkenaan merupakan antara langkah kerajaan menangani cabaran pendapatan dan kos operasi pekerja gig.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.