RM2.5 bilion ganti paip usang, JENDELA perluas liputan internet

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan memperuntukkan RM2.5 bilion menerusi program Pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan bagi meningkatkan kecekapan bekalan air bersih di seluruh negara, termasuk menggantikan paip kritikal yang usang sepanjang 1,900 kilometer, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan memperkukuh infrastruktur air melalui penggantian paip kritikal usang bagi meningkatkan kecekapan bekalan air bersih.
  • JENDELA dilaksanakan dengan pelaburan RM5 bilion untuk memperluas capaian internet negara.
  • JENDELA telah menyediakan WiFi di semua kampus universiti awam dan liputan 4G di semua penempatan FELDA.
  • Tumpuan seterusnya ialah liputan 4G bagi semua kampung Orang Asli, capaian di 7,000 km jalan raya, 1,700 km rel, dan kabel SALAM.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur asas negara, selain meningkatkan capaian internet menerusi pelaksanaan Projek Rangkaian Digital Nasional (JENDELA) dengan jumlah pelaburan RM5 bilion.

“Capaian air bersih di seluruh negara terus ditingkatkan melalui NRW Kebangsaan dengan kos RM2.5 bilion. Tumpuannya untuk menukar paip kritikal yang usang sepanjang 1,900 kilometer,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi memperluas ketersambungan digital, pelaksanaan JENDELA setakat ini berjaya menyediakan capaian Wi-Fi di semua kampus universiti awam serta liputan rangkaian 4G di semua penempatan FELDA.

“Tahun hadapan, tumpuan kita adalah untuk meliputi semua kampung Orang Asli dengan 4G, memastikan ketercapaian internet di 7,000 kilometer jalan raya dan 1,700 kilometer rel kereta api, serta pelaksanaan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM),” menurut Perdana Menteri.

Usaha berkenaan akan memberi tumpuan kepada peluasan liputan internet di kawasan yang masih mempunyai keterbatasan akses, termasuk perkampungan Orang Asli, di samping meningkatkan ketersambungan sepanjang rangkaian jalan raya dan landasan kereta api.

Pelaksanaan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh infrastruktur digital negara bagi menyokong keperluan komunikasi dan akses internet yang lebih meluas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.