Hampir RM1 bilion untuk Projek Perumahan Rakyat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan menyediakan hampir RM1 bilion bagi pelaksanaan projek perumahan rakyat, termasuk Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat, selain merancang empat projek perumahan baharu di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat projek perumahan baharu di Kulai, Nilai, Paya Rumput dan Lembah Pertang.
  • Bandar MADANI Bukit Jalil dibangunkan sebagai kawasan kediaman lengkap termasuk sekolah vertikal; Pendaftaran Fasa 1 dibuka.
  • SJKP menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM20 bilion bagi membantu 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya pekerja sendiri.
  • Pengecualian duti setem termasuk rumah pertama hingga RM500,000, kadar separa untuk baki hingga RM750,000, dan pengecualian bagi projek terbengkalai (2027-2030).

Empat projek baharu itu akan dibangunkan di Kulai, Johor; Nilai, Negeri Sembilan; Paya Rumput, Melaka; dan Lembah Pertang, Terengganu.

Dalam perkembangan berkaitan, Bandar MADANI Bukit Jalil akan dibangunkan sebagai kawasan kediaman rakyat yang dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk sekolah vertikal.

“Bandar MADANI Bukit Jalil akan dibangunkan sebagai kawasan kediaman rakyat yang lengkap dengan kemudahan termasuk sekolah vertikal.

“Pendaftaran Fasa 1 akan dibuka mulai Isnin ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah pertama, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM20 bilion yang dijangka memanfaatkan 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap.

Kerajaan turut bercadang memberikan pengecualian penuh duti setem bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik rumah pertama berharga sehingga RM500,000.

Bagi rumah berharga sehingga RM750,000, pengecualian penuh akan diberikan untuk RM500,000 pertama, manakala baki nilai berkenaan layak mendapat pengecualian sebanyak 50 peratus.

Kemudahan itu terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

Dalam usaha mencapai sasaran sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030, kerajaan turut bercadang memberikan pengecualian penuh duti setem bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik yang disempurnakan oleh kontraktor atau pemaju penyelamat serta pembeli asal.

Pengecualian itu akan berkuat kuasa dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

Langkah berkenaan merupakan antara usaha kerajaan memperluas akses kepada pemilikan rumah, membantu pembeli rumah pertama dan mempercepat pemulihan projek perumahan terbengkalai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.