
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan melanjutkan kempen Tahun Melawat Malaysia, dengan memperuntukkan RM935 juta bagi sektor pelancongan dan budaya.
- Had pembelian bebas cukai dinaikkan RM10,000 untuk pengunjung Langkawi dan Labuan, tertakluk penginapan minima 48 jam.
- Penambahbaikan prasarana jeti dan pemuliharaan tapak warisan berpotensi pengiktirafan UNESCO, termasuk Danum Valley, Lembah Bujang dan Taman Negara Pahang.
- Geran untuk penerbangan antarabangsa dan sewa khas merintis laluan terus dari China, India, Asia Tengah dan Eropah; turut meliputi kapal persiaran, feri dan bas.
- Seni, budaya dan warisan disemarakkan melalui festival Sukan SEA serta sokongan kepada penggiat kraf; pembayaran kod QR diperluas ke 15 lokasi pulau peranginan.
Selain itu had pembelian barangan bebas cukai dinaikkan RM10,000 kepada pelawat dan pelancong di Langkawi serta Labuan, namun tertakluk kepada tempoh penginapan minimum 48 jam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha itu merupakan sebahagian langkah memperkukuh daya tarikan destinasi pelancongan negara serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Sebanyak RM935 juta diperuntukkan untuk pelancongan dan budaya.
“Bagi meningkatkan tarikan pelancongan, kerajaan turut merancang penambahbaikan mutu kemudahan termasuk prasarana jeti dan tapak warisan berpotensi mendapat pengiktirafan UNESCO, antaranya Danum Valley di Sabah, Lembah Bujang di Kedah dan Taman Negara Pahang,” menurut Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2027.
Sementara itu, seni, budaya dan warisan juga akan disemarakkan menerusi penganjuran festival budaya sempena Sukan SEA serta sokongan kepada penggiat kraf tangan, tenun dan batik.
Manakala, geran sepadan penerbangan antarabangsa dan penerbangan sewa khas akan disediakan bagi merintis laluan penerbangan terus baharu dari China, India, Asia Tengah dan Eropah.
Skop geran turut diperluas kepada kapal persiaran, feri dan bas persiaran yang membawa pelancong antarabangsa ke Malaysia.
Bagi Langkawi, lebih banyak produk buatan tempatan turut diberikan pengecualian duti import bagi menyokong usahawan setempat.
Kerajaan juga akan memperluas pembayaran kod QR di 15 lokasi termasuk pulau peranginan bagi memudahkan urus niaga pelancong dan penduduk.