
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini memberi suntikan ekonomi kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dengan nilai limpahan dianggarkan mencecah RM345 juta.
- Kehadiran tinggi termasuk hampir 50% pelancong asing meningkatkan perbelanjaan pelancong sehingga 2.17 kali ganda berbanding acara biasa.
- PMKS dalam penginapan, F&B, peruncitan, pengangkutan, hiburan dan perkhidmatan pelancongan menerima peningkatan jualan serta peluang pendapatan.
- Acara berskala besar mesti dimanfaatkan untuk memperluas pasaran PMKS dan memperkukuh usaha pembesaran selari dengan agenda RMK13.
Acara bertaraf antarabangsa itu merekodkan kehadiran kira-kira 261,000 penonton termasuk hampir 50 peratus pelancong dari luar negara dengan berbelanja 2.17 kali ganda lebih tinggi berbanding acara biasa.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata kehadiran jumlah penonton yang tinggi membuktikan acara sukan berprofil antarabangsa berupaya merancakkan kegiatan ekonomi setempat.
“F1 GP Bahrain di Malaysia telah memberikan impak yang amat ketara kepada PMKS, khususnya yang beroperasi dalam industri penginapan, makanan dan minuman (F&B), peruncitan, pengangkutan, hiburan, perkhidmatan berkaitan pelancongan serta aktiviti sokongan yang lain.
“Malah, pelancong asing lazimnya berbelanja lebih banyak apabila mengambil kira tempoh penginapan yang lebih lama serta perbelanjaan bagi penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan, aktiviti membeli-belah dan pengalaman riadah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, peningkatan perbelanjaan pelancong sepanjang berlangsungnya acara turut membuka peluang kepada PMKS untuk menjana pendapatan menerusi penjualan produk serta penyediaan pelbagai perkhidmatan.
Jelasnya, penganjuran acara berskala besar seperti itu perlu terus dimanfaatkan sebagai medan bagi memperluas peluang pasaran PMKS selain meningkatkan penyertaan mereka dalam rantaian nilai sektor pelancongan dan hospitaliti.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata, penyertaan PMKS dalam acara bertaraf antarabangsa berkenaan turut membantu memperkukuh usaha memperbesar skala perniagaan tempatan selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).