
SINGAPURA, 8 Oktober – Kecerdasan buatan (AI) berpotensi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dunia sehingga setengah mata peratusan setahun dalam jangka panjang sekiranya dibangunkan dan dimanfaatkan dengan baik.
- Perkembangan pesat AI menjadi faktor utama membentuk ekonomi global melalui peningkatan permintaan dan pelaburan teknologi.
- Perkakasan AI dan produk teknologi menyumbang lebih satu persepuluh perdagangan barangan dunia; bahagiannya dijangka terus meningkat.
- Ekonomi global berdepan tekanan: harga tenaga tinggi, gangguan bekalan, inflasi meningkat, kadar faedah lebih tinggi serta beban hutang awam yang rekod.
Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva berkata, perkembangan pesat AI kini menjadi antara faktor utama yang membentuk ekonomi global, khususnya menerusi peningkatan permintaan dan pelaburan dalam sektor teknologi.
“Perkakasan AI dan produk teknologi berkaitan kini dianggarkan menyumbang lebih satu persepuluh daripada perdagangan barangan dunia dan bahagiannya dijangka terus meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembentangan berkaitan prospek ekonomi global di Lee Kuan Yew School of Public Policy, di sini, menjelang Mesyuarat Tahunan IMF 2026 di Thailand minggu depan.
Jelasnya lagi, peningkatan perdagangan berkaitan AI mencerminkan ledakan pelaburan dalam ekonomi yang terlibat dalam rantaian nilai teknologi berkenaan.
Bagaimanapun, Georgieva berkata ekonomi global pada masa sama berdepan tekanan daripada harga tenaga yang kekal tinggi.
Ini susulan gangguan bekalan yang mendorong peningkatan inflasi, kadar dasar dan keluk hasil penanda aras.
“Ini membawa kita kepada faktor utama ketiga yang mempengaruhi ekonomi global ketika ini, iaitu defisit fiskal berlebihan, paras hutang awam yang mencatat rekod serta kos khidmat hutang yang tinggi.
“Hutang awam global kini menghampiri paras tertinggi sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua dan dijangka melebihi 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global,” katanya.