Belanjawan 2027 perkukuh konsolidasi fiskal, defisit disasar 3.3 peratus KDNK

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan defisit fiskal negara diunjurkan menurun kepada 3.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM83 bilion untuk memperkukuh kapasiti produktif dan menggalakkan penyertaan sektor swasta.
  • Kualiti pelaksanaan perbelanjaan awam dan kemampuan menjana pulangan ekonomi jangka panjang menentukan keberkesanan dasar.
  • Penyusunan semula subsidi disertai bantuan lebih bersasar serta peningkatan STR dan SARA untuk lindungi golongan rentan, kurangkan ketirisan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC), Arshad Mohamed Ismail berkata, usaha itu turut disokong peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan kepada RM83 bilion bagi memperkukuh kapasiti produktif negara serta membuka lebih banyak peluang penyertaan sektor swasta.

“Bagaimanapun, keberkesanan perbelanjaan awam bukan sahaja bergantung kepada jumlah peruntukan, malah kualiti pelaksanaan dan keupayaannya menjana pulangan ekonomi dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya usaha memperkukuh kutipan hasil negara melalui asas hasil yang lebih luas dan mampan juga dijangka membantu meningkatkan kedudukan fiskal Malaysia secara berperingkat.

Selain itu, kepelbagaian sumber hasil, termasuk daripada sektor berkaitan petroleum dan cukai lain, turut menyokong usaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber hasil tertentu.

“Usaha menyusun semula subsidi setakat ini turut disertai langkah melindungi kebajikan isi rumah. Peralihan berterusan kepada bantuan yang lebih bersasar dijangka meningkatkan kecekapan sokongan Kerajaan, di samping mengurangkan ketirisan,” jelasnya.

Selain itu beliau menegaskan peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut ditingkatkan bagi membantu meringankan beban rakyat, khususnya golongan rentan, dalam menghadapi kos sara hidup.

“Secara keseluruhannya, pengurangan defisit fiskal yang disertai perbelanjaan pembangunan berterusan menyediakan asas untuk memperkukuh daya tahan ekonomi dan potensi pertumbuhan jangka panjang negara,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.