
SEPANG, 8 Oktober – Atlet memanah berkuda negara, Abdurrahman Ahmad Mu’az muncul juara Kategori Open – Tower 90 pada International Horseback Archery Masters 2026 di Erenhot, Inner Mongolia, China.
- Mengumpul 167.945 mata keseluruhan, mengatasi 139 peserta dari 23 negara.
- Cuaca sejuk dan angin kuat mencabar prestasi; satu hari tangan beliau beku sehingga sukar memanah.
- Masa kurang sejam memilih kuda; beliau pilih kuda tenang, uji kelakuan, dan berharap kejayaan jadi pemangkin untuk negara.
Atlet berusia 16 tahun itu berjaya mengutip 167.945 mata keseluruhan untuk mengatasi 139 peserta dari 23 negara dalam kejohanan berkenaan.
Wakil Perancis, Raphael Malet menduduki tempat kedua dengan 152.275 mata, manakala wakil Mongolia, Baatarkhuu Aygaa di tempat ketiga dengan 145.495 mata.
Abdurrahman mengakui keadaan cuaca dan angin kuat antara cabaran sepanjang kejohanan, namun tetap berbangga selepas berjaya meraih pingat emas.
“Alhamdulillah, awal-awal saya agak lemah semangat sebab cuaca yang agak sejuk dengan angin yang agak kuat. Tapi saya rasa sangat bangga dapat memenangi pingat emas untuk Kategori Tower 90.
“Kawasan kincir angin menyebabkan angin sangat kuat dan ada satu hari tangan saya beku, jadi saya memang tak boleh memanah dengan baik,” katanya ketika ditemui RTM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Dalam pada itu, pemilihan kuda turut menjadi cabaran apabila penganjur memberikan masa kurang sejam kepada peserta untuk membuat pilihan.
“Penganjur memberikan masa kurang daripada sejam untuk memilih kuda. Jadi saya hanya memilih kuda yang tenang dan baik, kemudian saya cuba mengujinya.
“Saya terus mencari kuda yang lebih tenang dan cuba mengacahnya. Jika kuda itu tidak mengalah, Alhamdulillah, kami ambil kuda itu,” jelasnya.
Abdurrahman berharap pencapaian di China menjadi pemangkin untuk beliau terus memperbaiki prestasi dan mengharumkan nama negara dalam sukan berkenaan.