
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober – Program keibubapaan serta pendidikan digital antara aspek yang diharap dapat diperkasakan menerusi Belanjawan 2027 bagi menyokong perkembangan sahsiah, pembelajaran dan kemahiran pelajar.
- Penglibatan ibu bapa penting untuk memahami dasar pendidikan dan pendekatan guru, bagi mengelakkan jurang kefahaman antara sekolah dan keluarga.
- Program keibubapaan perlu diperkasa sebagai platform komunikasi, kerana mesyuarat biasa tidak mencapai semua ibu bapa.
- Perkukuh pendidikan digital melalui IoT, robotik, pengekodan dan aplikasi supaya pelajar cepat menyesuaikan diri dengan teknologi seperti ChatGPT dan DELIMa 3.0.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Kamsah@Kamal Mohamed berkata, penglibatan ibu bapa penting bagi memastikan mereka memahami dasar pendidikan serta pendekatan yang dilaksanakan guru di sekolah.
Menurutnya, program keibubapaan boleh menjadi platform untuk merapatkan jurang komunikasi antara sekolah dan keluarga, selain memberi kefahaman yang lebih jelas mengenai peranan kedua-dua pihak dalam pendidikan anak-anak.
“Kalau peruntukan untuk program keibubapaan tidak diberi, akan berlaku jurang antara dasar kerajaan dengan kefahaman ibu bapa terhadap apa yang dilaksanakan guru di sekolah.
“Kita hanya ada platform seperti temu murni dan mesyuarat agung persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), namun bukan semua ibu bapa hadir. Akhirnya maklumat sebenar tidak sampai kepada ibu bapa atau masyarakat,” katanya kepada RTM.
Kamsah turut memaklumkan, program berkenaan turut penting bagi meningkatkan kesedaran bahawa proses pembelajaran dan pembentukan sahsiah anak-anak bermula dari rumah sebelum diteruskan di sekolah.
Pada masa sama, beliau berharap usaha pendigitalan pendidikan terus diperkasa dengan lebih banyak program berkaitan teknologi termasuk Internet of Things (IoT), robotik, pengekodan dan penggunaan aplikasi digital.
Katanya, pendedahan itu penting bagi memastikan pelajar dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat.
“Kita mahu anak-anak pelajar dapat menerima dengan cepat perkembangan pendigitalan ini dengan pelbagai aplikasi yang ada.
“Hari ini orang bercakap tentang Gemini, ChatGPT dan sebagainya, manakala Kementerian Pendidikan juga telah memperkenalkan DELIMa 3.0.
“Jadi saya berharap Terengganu turut mendapat peruntukan yang besar bagi memperkukuh pendigitalan untuk pelajar di sekolah,” katanya.