KKM lulus lebih RM3.8 juta, tambah baik fasiliti kesihatan di Kuala Muda

Foto Facebook Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

SUNGAI PETANI, 5 Oktober – Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan khas lebih RM3.8 juta untuk menaik taraf fasiliti kesihatan di daerah Kuala Muda, khususnya bagi Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Naik taraf jabatan kecemasan dan penggantian lantai wad dengan vinil bagi meningkatkan kawalan jangkitan dan kelancaran perkhidmatan.
  • Perolehan aset perubatan dan bukan perubatan termasuk 20 katil pengusung bagi menyokong operasi hospital dan klinik.
  • Memperkukuh penjagaan primer dan kurangkan kesesakan menerusi Model Integrasi Menegak serta Klinik Selepas Waktu Pejabat dengan hospital rakan kongsi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah peruntukan tersebut, lebih RM2.5 juta diperuntukkan untuk HSAH.

“Keseluruhan peruntukan yang saya luluskan pada kali ini berjumlah RM3,800,930. Itu jumlah keseluruhan peruntukan yang telah saya luluskan.

“Saya berikan sedikit pecahan. Pertama, saya mahu tekankan bahawa keseluruhan peruntukan ini adalah untuk melancarkan perkhidmatan, seperti yang telah ditekankan, memastikan peningkatan kualiti rawatan, selain perolehan peralatan serta kerja-kerja pembaikan fasiliti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Hospital Sultan Abdul Halim dalam siri lawatan kerja ke Sungai Petani hari ini bagi meninjau, merasmikan dan memantau kemajuan fasiliti kesihatan di daerah Kuala Muda.

Peruntukan HSAH meliputi pembaikan dan naik taraf jabatan kecemasan serta penggantian lantai wad dengan vinil bagi meningkatkan kawalan jangkitan.

Selain itu, peruntukan tersebut merangkumi perolehan aset, termasuk aset perubatan dan bukan perubatan serta 20 katil pengusung.

Dalam lawatan itu beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak RM564,800 diperuntukkan kepada Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani (Jenis 2) untuk kesediaan operasi awal dan perolehan aset perubatan serta sokongan.

Peruntukan itu termasuk RM398,800 khusus untuk klinik pergigian di klinik kesihatan berkenaan.

Secara keseluruhan, lawatan itu mencerminkan komitmen berterusan KKM untuk memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, meningkatkan perkhidmatan pemindahan darah dan kepakaran, serta memastikan aset dan infrastruktur kekal selesa dan selamat untuk orang ramai.

Pada masa sama, Datuk Seri Dr Dzulkefly turut memuji inisiatif HSAH bagi mengurangkan kesesakan hospital menerusi Model Integrasi Menegak Kluster Kedah Tengah 2026 dan ‘Klinik Selepas Waktu Pejabat’, yang dilaksanakan sejak 17 Ogos lepas dengan kerjasama rapat Hospital Yan, Hospital Sik dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Inisiatif itu melibatkan klinik pakar dan Klinik Kesihatan beroperasi di luar waktu pejabat standard bagi menyerap limpahan pesakit luar dan pesakit
‘zon hijau’ dari Jabatan Kecemasan HSAH.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.