
SEPANG, 4 Oktober – Malaysia sedang mengadakan perbincangan bersama penganjur Formula 1 (F1) bagi mempertimbangkan kemungkinan perlumbaan berprestij itu kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada masa akan datang.
- Perdana Menteri Anwar sahkan perbincangan dengan CEO F1 Stefano Domenicali sedang dijalankan; keputusan masih terlalu awal.
- Sepang menjadi lokasi sementara GP Bahrain 2026, menandakan kembalinya F1 selepas sembilan tahun tanpa perlumbaan sejak 2017.
- Lebih 100,000 penonton hadir, menunjukkan potensi impak ekonomi dan membuka ruang penilaian semula penganjuran oleh kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Stefano Domenicali, sudah dimulakan, namun keputusan berhubung penganjuran seterusnya masih terlalu awal untuk dimuktamadkan.
“Perkara itu kita bincangkan bersama CEO F1 Stefano. Namun, masih terlalu awal untuk diputuskan.
“Beliau telah membuka ruang untuk perbincangan dan kita akan membincangkan kepentingan perkara itu kepada negara, termasuk dari segi kos,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini.
Terdahulu Datuk Seri Anwar hadir menyaksikan perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di SIC, hari ini, yang menandakan kemunculan semula F1 di Sepang selepas sembilan tahun.
Perlumbaan F1 terakhir di Sepang berlangsung pada 2017 sebelum Malaysia kembali menjadi sebahagian daripada kalendar F1 musim ini apabila SIC dipilih sebagai lokasi sementara bagi GP Bahrain yang dipindahkan susulan situasi keselamatan di Asia Barat.
Kembalinya F1 ke Sepang mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 100,000 peminat hadir menyaksikan perlumbaan, sekali gus menunjukkan potensi acara berkenaan dalam menjana impak ekonomi kepada negara.
Malaysia sebelum ini menganjurkan GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan kontrak penganjuran berikutan kos yang meningkat, selain trend penurunan jumlah penonton, pengunjung dan pelancong asing yang hadir.
Namun, sambutan terhadap kepulangan F1 tahun ini membuka ruang untuk kerajaan menilai semula potensi SIC serta manfaat ekonomi yang boleh dijana menerusi penganjuran acara sukan bertaraf dunia itu.
Sepang dipilih sebagai lokasi Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 bagi memastikan perlumbaan berkenaan kekal dalam kalendar F1 selepas situasi geopolitik di Asia Barat menyebabkan Bahrain tidak dapat menganjurkan perlumbaan di litar asal negara itu.