
BIDOR, 1 Oktober -Polis telah merakam keterangan 10 individu berhubung kejadian seorang lelaki berusia 41 tahun yang merupakan ahli perniagaan, cedera ditembak di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, Bidor, Selasa lalu.
- Keterangan direkodkan melibatkan mangsa dan sembilan saksi, termasuk ahli keluarga, pekerja stesen minyak serta orang awam.
- Suspek memecut, berhenti di hadapan kenderaan mangsa lalu melepaskan beberapa das tembakan; polis mengesyaki mangsa mungkin diekori.
- Rakaman CCTV stesen minyak dan plaza tol diambil tetapi rekod tol tidak menunjukkan kenderaan suspek keluar; mangsa stabil di hospital swasta.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, keterangan itu melibatkan mangsa dan sembilan saksi, termasuk ahli keluarga, pekerja stesen minyak serta orang awam.
Beliau berkata, kereta dinaiki dua suspek dan seorang pemandu itu dipercayai dipandu laju sebelum berhenti di hadapan kenderaan mangsa dan melepaskan beberapa das tembakan.
“Ada kemungkinan mangsa turut diekori. Jika tidak, suspek mungkin tidak akan datang dengan keadaan begitu laju ke stesen minyak berkenaan. Suspek dipercayai memecut sebelum memberhentikan kenderaannya di hadapan kereta mangsa, kemudian melepaskan tembakan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara di Mes Pegawai Ipoh.
Polis telah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit serta beberapa plaza tol berhampiran bagi mengesan pergerakan suspek.
Bagaimanapun, semakan rakaman CCTV di plaza tol berkenaan tidak menunjukkan kenderaan suspek keluar melalui laluan tersebut.
Mangsa yang terkena satu das tembakan di bahu kiri kini dirawat di sebuah hospital swasta di Ipoh dan dilaporkan stabil.