
COPENHAGEN, 1 Oktober – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan di sini selepas disahkan tidak akan berada dalam kesebelasan utama bagi aksi Liga Negara-Negara menentang Denmark, hari ini.
- Ronaldo tidak diturunkan ketika Portugal menewaskan Norway, meskipun melakukan pemanasan badan sepanjang perlawanan.
- Jesus menegaskan tiada perselisihan tetapi mengakui Ronaldo kecewa kerana tidak diberikan peluang beraksi.
- Jesus menafikan laporan Ronaldo enggan berlatih; beliau menjalani latihan individu fokus pada mobiliti dan pengukuhan.
- Ronaldo kekal penjaring terbanyak Portugal dengan 146 gol dalam 234 penampilan bersama skuad kebangsaan.
Keputusan itu diumumkan Ronaldo menerusi Instagram selepas jurulatih Portugal, Jorge Jesus memaklumkan pemain berusia 41 tahun berkenaan sekali lagi tidak akan diturunkan sebagai pemain utama.
“Susulan sidang media jurulatih pasukan kebangsaan dan selepas berbincang dengan presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal, saya memutuskan untuk meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan.
“Pada waktunya nanti, saya akan memberitahu seluruh rakyat Portugal perkara sebenar mengenai sebab saya meninggalkan pasukan kebangsaan, yang selama ini sentiasa saya berikan sepenuh komitmen,” katanya.
Ronaldo turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Portugal dan semua rakan sepasukannya menjelang pertemuan menentang Denmark.
Beliau sebelum ini tidak diturunkan ketika Portugal menewaskan Norway 2-1 pada Ahad, meskipun melakukan pemanasan badan sepanjang perlawanan.
Jesus bagaimanapun menegaskan tiada perselisihan antara beliau dan Ronaldo, namun mengakui kapten Portugal itu sememangnya kecewa kerana tidak diberikan peluang beraksi.
“Tiada sebarang insiden. Mana-mana pemain apabila memanaskan badan selama 20 atau 30 minit tetapi kemudian tidak diturunkan, sudah tentu tidak akan gembira,” katanya.
Jesus turut memberitahu, Ronaldo sudah dimaklumkan sebelum aksi menentang Norway bahawa beliau tidak akan bermula dalam kesebelasan utama, namun masih berpeluang diturunkan pada penghujung permainan.
Bagaimanapun, keputusan akhirnya dibuat untuk tidak menggunakan khidmat penyerang berkenaan.
Jesus turut menafikan laporan bahawa Ronaldo enggan menjalani latihan pada Selasa, sebaliknya beliau menjalani latihan individu yang memberi tumpuan kepada aspek fizikal termasuk mobiliti dan pengukuhan.
Ronaldo tiba di Stadium Parken bersama skuad Portugal pada Rabu, namun tidak menyertai latihan sebelum dilihat meninggalkan stadium bersama dua staf sokongan.
Persekutuan Bola Sepak Portugal kemudian mengesahkan Ronaldo tidak mengambil bahagian dalam sesi latihan berkenaan.
Bagi aksi menentang Denmark, Jesus dijangka terus mempertaruhkan Goncalo Ramos yang menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Norway.
Ronaldo kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal dengan 146 gol dalam 234 penampilan bersama skuad kebangsaan. – AFP