Kes kematian pelajar asrama di Kuala Pilah: Dua remaja 16 tahun ditahan

Gambar Hiasan

SEREMBAN, 29 September – Dua pelajar berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar lelaki di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah, Khamis lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dipukul di asrama malam 25 September selepas solat Maghrib semasa sesi ulang kaji, kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.
  • Polis menyiasat mengikut Seksyen 302 sambil meneliti kemungkinan unsur buli; getah paip dipercayai digunakan telah dirampas.
  • Bedah siasat awal belum tentukan punca; 68 saksi diambil keterangan dan keputusan analisis sampel Jabatan Kimia masih ditunggu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya turut menyiasat kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian berkenaan, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jelas beliau, kedua-dua suspek merupakan pelajar Tingkatan Empat dan tinggal di asrama sekolah sama dengan mangsa.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada malam 25 September selepas solat Maghrib, ketika pelajar sepatutnya menjalani sesi ulang kaji atau prep.

“Suspek pertama dipercayai mengarahkan suspek kedua memanggil mangsa sebelum mangsa dipukul.

“Mangsa kemudian berada dalam keadaan kritikal sebelum warden dihubungi dan membawanya ke hospital, namun disahkan meninggal dunia,” katanya.

Polis turut merampas getah paip yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

“Hala tuju siasatan selain daripada untuk kita mengetahui punca sebenar kematian, siasatan turut merangkumi aspek kemungkinan berlakunya insiden buli ataupun sebaliknya di asrama sekolah tersebut,” tegas beliau lagi.

Suspek kedua direman enam hari bermula 28 September hingga 3 Oktober bagi membantu siasatan.

Setakat ini, pihak polis telah mengambil keterangan 68 saksi yang mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan kes berkenaan.

“Keputusan awal bedah siasat pula belum dapat menentukan punca kematian mangsa dan polis masih menunggu keputusan analisis sampel spesimen daripada Jabatan Kimia Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, beberapa pelajar juga tampil mendakwa pernah dibuli suspek pertama, namun perkara itu masih dalam siasatan.

“Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan,” tegas beliau lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.