
KUALA LUMPUR, 29 September – S&P Global Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A- dengan tinjauan stabil, disokong daya tahan ekonomi, pertumbuhan berterusan serta kedudukan fiskal dan luaran negara.
- Unjuran pertumbuhan: ekonomi dijangka berkembang 5.5% pada 2026 dan sekitar 5.0% tahunan bagi 2026 hingga 2029.
- Sokongan eksport E&E dan semikonduktor susulan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan, serta sebagai destinasi pusat data dengan pelaburan terkumpul RM386 bilion.
- Defisit fiskal mengecil kepada 3.7% KDNK pada 2025; kerajaan akan meneruskan reformasi fiskal dan tingkat produktiviti, Belanjawan 2027 dijangka pada 9 Okt.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan berkata, agensi penarafan itu menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang 5.5 peratus pada 2026, selepas mencatat pertumbuhan 5.2 peratus pada 2025.
Bagi tempoh 2026 hingga 2029, pertumbuhan ekonomi diunjurkan sekitar 5.0 peratus setahun, manakala pertumbuhan KDNK per kapita Malaysia kekal lebih tinggi berbanding median global bagi negara pada tahap pendapatan setara.
Prestasi itu turut disokong peningkatan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor susulan kitaran pelaburan global berkaitan kecerdasan buatan, selain eksport tenaga dan penggunaan isi rumah.
S&P turut menyifatkan Malaysia sebagai antara destinasi utama pelaburan pusat data di Asia Tenggara, dengan anggaran pelaburan terkumpul RM386 bilion antara 2021 hingga pertengahan 2026.
Dari segi fiskal, defisit kerajaan mengecil kepada 3.7 peratus daripada KDNK pada 2025, berbanding 6.4 peratus pada 2021.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penilaian itu menunjukkan pertumbuhan per kapita Malaysia kekal kukuh meskipun berdepan persekitaran global mencabar.
Kerajaan akan meneruskan reformasi fiskal, meningkatkan produktiviti serta daya saing, dengan langkah seterusnya dijangka diumumkan menerusi Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.