Pindaan Akta Kanak-Kanak teliti isu seksual, ‘grooming’ rakan sebaya

Datuk Seri Nancy merasmikan Simposium Kesihatan Reproduktif Kebangsaan 2026 di Putrajaya

PUTRAJAYA, 29 September – Peruntukan berkaitan salah laku seksual melampaui batas dalam kalangan kanak-kanak, termasuk isu pemangsaan dan pengantunan (grooming) sesama rakan sebaya, akan diperincikan dalam cadangan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan perlu bagi memastikan undang-undang mampu menangani cabaran semasa membabitkan kanak-kanak.
  • Kajian menyeluruh diperlukan untuk elak double jeopardy dan implikasi perundangan tidak wajar terhadap kanak-kanak.
  • Kementerian akan berbincang dengan KDN susulan kes melibatkan penghasilan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pindaan itu penting bagi memastikan undang-undang berkenaan mampu menangani cabaran semasa membabitkan kanak-kanak.

“Kita nak lihat sama ada sesuai atau tidak untuk kita masukkan. Kanak-kanak adalah 18 tahun dan ke bawah, tetapi ada perkara-perkara yang mereka lakukan sudah melebihi batas daripada apa yang kanak-kanak boleh buat.

“Namun begitu, kita perlu kaji lagi kerana kita tidak mahu berlaku double jeopardy kepada kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Kesihatan Reproduktif Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Nancy berkata, kementerian akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meneliti peruntukan yang sesuai dimasukkan dalam pindaan itu.

Beliau berkata perkara itu turut dilihat susulan kes membabitkan perlakuan seksual kanak-kanak bawah umur.

Ia termasuk kes terbaharu membabitkan remaja berusia 13 tahun dalam penghasilan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) yang ditahan menerusi Ops Pedo 3.0.

Menurutnya, sebarang peruntukan baharu perlu diteliti secara menyeluruh bagi mengelakkan implikasi perundangan yang tidak wajar terhadap kanak-kanak.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.