
KUALA LUMPUR, 26 September – Bursa Malaysia dijangka menyaksikan aktiviti memburu saham-saham berharga rendah pada minggu depan dengan indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur bergerak dalam julat 1,660 hingga 1,690, kata penganalisis.
- Sentimen pelabur kekal berhati-hati susulan kenaikan hasil Bon Perbendaharaan AS yang memberi tekanan kepada aliran dana serantau.
- RSI FBM KLCI sekitar 35, menandakan hampir jualan berlebihan; dijangka pembelian saham harga rendah terutama perbankan berasaskan asas kukuh.
- Paras 1,670 kekal rintangan utama yang boleh mengehadkan pemulihan jangka pendek pasaran.
- Pergerakan minggu ini dipacu pembelian awal saham murah tetapi dibatasi kenaikan hasil Bon AS, harga minyak, ketidaktentuan geopolitik dan jualan asing.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pelabur juga dijangka kekal berhati-hati dengan peningkatan hasil Bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) berpotensi terus memberi tekanan kepada aliran dana serantau.
Keadaan itu dijangka berlaku meskipun pasaran mengalami fasa pembetulan teknikal baru-baru ini yang mendorong penilaian saham wajaran tinggi terpilih ke paras yang lebih menarik.
Pada masa sama, hala tuju pasaran turut bergantung kepada perkembangan hasil bon global serta minat risiko pelabur.
“Memandangkan Indeks Kekuatan Relatif (RSI) FBM KLCI sekitar 35 iaitu menghampiri wilayah jualan berlebihan, kami menjangkakan aktiviti pembelian saham pada harga rendah akan muncul bagi saham-saham wajaran tinggi yang mempunyai asas kukuh, terutama perbankan dan saham yang dilihat sebagai mampu bertahan jika keadaan luaran semakin stabil.
“Namun, paras 1,670 kekal menjadi rintangan utama yang boleh mengehadkan pemulihan jangka pendek,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, Thong berkata perhatian juga dijangka beralih kepada Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China serta laporan pekerjaan AS yang berpotensi mempengaruhi selera risiko serantau selain hala tuju hasil bon.
Pada sesi dagangan minggu ini yang berakhir semalam, aktiviti pembelian saham berharga rendah terbukti memacu pergerakan indeks pada awal minggu ini.
Bagaimanapun, kenaikan itu dikekang oleh lonjakan hasil Bon Perbendaharaan AS yang tinggi, peningkatan harga minyak, ketidaktentuan geopolitik serta jualan oleh pelabur asing.
Indeks utama bursa itu juga ditutup rendah pada Jumaat di tengah-tengah kebimbangan terhadap peningkatan hasil bon serta ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, indeks FBM KLCI menokok 6.06 mata kepada 1,671.62 pada akhir dagangan semalam daripada 1,665.56 seminggu sebelumnya.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas melonjak 44.92 mata kepada 12,456.64, Indeks FBM Top 100 naik 33.09 mata kepada 12,243.46, Indeks FBM Emas Syariah sebaliknya susut 5.76 mata kepada 12,306.23 dan Indeks FBM ACE menokok 288.26 mata kepada 5,532.86 manakala Indeks FBM Mid 70 meraih 0.89 mata kepada 17,844.91.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Tenaga menambah 41.21 mata kepada 861.83, Indeks Perladangan merosot 161.57 mata kepada 9,334.8, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 1.14 mata kepada 184.1 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 137.86 mata kepada 19,550.49.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 17.11 bilion unit bernilai RM14.07 bilion daripada 15.02 bilion unit bernilai RM14.18 bilion pada minggu sebelumnya.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan meningkat kepada 10.41 bilion unit bernilai RM12.31 bilion daripada 9.38 bilion unit bernilai RM12.93 bilion sebelumnya.
Selain itu, perolehan waran meningkat kepada 4.21 bilion unit bernilai RM661.61 juta daripada 3.61 bilion unit bernilai RM498.33 juta pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.48 bilion unit bernilai RM1.09 bilion daripada 2.02 bilion unit bernilai RM748.59 juta pada minggu sebelumnya. -BERNAMA