
SUBANG JAYA, 26 September – Peningkatan pendapatan rakyat yang lebih mampan memerlukan reformasi struktur ekonomi dan peralihan industri kepada aktiviti bernilai tinggi.
- Perlu ubah struktur ekonomi supaya industri dapat bergerak ke peringkat bernilai tinggi dan menaikkan potensi ekonomi negara.
- Meningkatkan kedudukan gaji memerlukan pendekatan struktur untuk atasi masalah gaji yang tidak meningkat secara berpanjangan.
- Kerajaan memberi fokus kepada mekanisme gaji minimum untuk bantu pekerja bergaji rendah sambil mengelak kesan pemampatan gaji.
- Perhatian kepada pekerja separa mahir dan kelompok pertengahan penting supaya kenaikan gaji progresif tidak membebankan majikan PMKS.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha itu perlu mengambil kira beberapa aspek, termasuk meningkatkan siling ekonomi negara.
“Apabila kita bercakap mengenai masalah gaji yang tidak meningkat atau bagaimana kita mahu meningkatkan lagi kedudukan gaji di negara ini, sudah pasti ia merupakan isu struktur ekonomi yang telah lama membelenggu negara.
“Sebagai contoh, kita komited untuk membolehkan segmen industri kita bergerak ke arah nilai yang lebih tinggi. Dalam industri semikonduktor, kalau sebelum ini kita berada di peringkat hiliran, kita mahu bergerak ke arah peringkat huluan. Jadi, struktur ekonomi itu perlu diubah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup REHDA Institute Youth Initiative (RIYI) 2026, di sini hari ini.
Tambah beliau, kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha meningkatkan pendapatan kumpulan pekerja bergaji rendah, termasuk melalui mekanisme gaji minimum.
“Bagaimanapun, cabaran seterusnya adalah untuk mengelakkan pemampatan gaji, khususnya bagi kumpulan pekerja separa mahir dan kumpulan bergaji pertengahan supaya gaji mereka tidak tertekan apabila majikan, terutamanya daripada kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PMKS), perlu menanggung komitmen terhadap peningkatan gaji minimum.
“Pada masa sama, gaji kumpulan pekerja lain juga perlu meningkat dengan sebaik mungkin. Maksudnya, pertumbuhan gaji secara progresif itu perlu ada.”
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peningkatan pendapatan rakyat secara mampan hanya dapat dicapai menerusi reformasi struktur ekonomi.