
KUALA LUMPUR, 26 September – Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) mencadangkan dua langkah utama dalam Belanjawan 2027 bagi memperluas perlindungan insurans pekerja serta memperkukuh sektor insurans semula domestik.
- LIAM mencadangkan pengecualian cukai perkhidmatan 8% ke atas skim insurans pekerja berkumpulan.
- Pengecualian cukai dapat mengurangkan kos majikan, khususnya PKS, dan menggalakkan lebih banyak syarikat mengekalkan perlindungan pekerja.
- Peluwasan perlindungan dijangka membantu isi rumah menghadapi kematian, hilang upaya dan kos perubatan luar jangka.
- Cadangan semakan layanan cukai insurans semula bertujuan tingkatkan daya saing syarikat tempatan dan mengekalkan kapasiti pengurusan risiko domestik.
Ketua Pegawai Eksekutif LIAM, Mark O’Dell berkata, antara cadangan tersebut ialah pengecualian cukai perkhidmatan lapan peratus ke atas skim insurans pekerja berkumpulan.
Langkah itu dapat mengurangkan kos penyediaan manfaat insurans kepada majikan, terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), sekali gus menggalakkan lebih banyak syarikat menyediakan atau mengekalkan perlindungan kepada pekerja.
Berdasarkan statistik yang diterbitkan, kurang separuh daripada pekerja di Malaysia mempunyai perlindungan di bawah skim insurans berkelompok.
LIAM berpandangan peluasan perlindungan itu dapat membantu isi rumah menghadapi beban kewangan luar jangka termasuk kematian, hilang upaya dan kos perubatan.
Pada masa sama, LIAM turut mencadangkan semakan terhadap layanan cukai bagi syarikat insurans semula yang beroperasi di Malaysia berbanding syarikat asing yang menyediakan kapasiti insurans semula kepada pasaran tempatan.
Menurut persatuan itu, pendekatan cukai yang lebih neutral dapat meningkatkan daya saing syarikat tempatan, selain membantu mengekalkan kapasiti insurans semula dan pengurusan risiko dalam negara.