
PUTRAJAYA, 25 September – Seramai 84 pendatang tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Pintu di Pangsapuri Putra Harmoni atau lebih dikenali sebagai Flat Hijau, di sini, yang bermula semalam.
- Operasi hasil risikan dan maklumat awam dilaksanakan dalam dua fasa melibatkan 60 pegawai imigresen.
- Operasi pertama memeriksa premis perniagaan pada 11.30 pagi; operasi kedua menyasarkan penghuni pada 1.30 pagi.
- Sebanyak 321 individu diperiksa melibatkan penghuni, pekerja premis dan orang awam.
- JIM menggesa pemilik rumah dan premis memastikan status imigresen sah dan orang ramai menyalurkan maklumat.
JIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi hasil risikan dan maklumat awam itu dilaksanakan dalam dua fasa, membabitkan 60 pegawai imigresen.
“Operasi pertama pada 11.30 pagi semalam melibatkan pemeriksaan terhadap premis perniagaan di kawasan pangsapuri berkenaan, sebelum operasi kedua dijalankan pada 1.30 pagi hari ini dengan sasaran utama penghuni yang disyaki pendatang tanpa izin.
“Dalam operasi itu, seramai 321 individu diperiksa, dengan 84 ditahan membabitkan 73 lelaki, sembilan perempuan dan dua kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.
Op Pintu merupakan kesinambungan operasi penguatkuasaan di kawasan penempatan yang dikenal pasti mempunyai kepadatan warga asing yang tinggi, susulan operasi pada 9 September lalu.
“Hasil risikan mendapati terdapat warga asing yang menetap di kawasan berkenaan dan sebahagiannya dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan.
“JIM turut menggesa pemilik rumah dan premis supaya bertanggungjawab dengan memastikan status imigresen penghuni atau penyewa adalah sah serta mematuhi syarat ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran pendatang tanpa izin atau aktiviti yang disyaki melanggar undang-undang kepada pihak berkuasa.