Tipu pakej umrah, lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau

Foto hiasan

BALIK PULAU, 25 September – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini kerana menipu seorang individu berhubung pakej umrah persendirian sehingga menyebabkan kerugian pada Februari tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh didakwa membuat representasi mampu menyediakan dan mengurus pakej umrah persendirian termasuk penerbangan serta penginapan.
  • Pengadu didakwa menyerahkan RM35,736 kepada akaun syarikat didaftarkan atas nama tertuduh.
  • Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan; jaminan RM7,500 dan sebutan kes pada 19 November.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, Syed Syafiq Syed Azhar, 38 tahun didakwa memperdayakan pengadu dengan membuat representasi bahawa boleh menyediakan dan menguruskan pakej umrah persendirian termasuk penerbangan pergi dan balik serta penginapan di Mekah dan Madinah.

Representasi itu didakwa palsu dan tidak benar sehingga mendorong pengadu menyerahkan wang berjumlah RM35,736 kepada tertuduh melalui akaun atas nama syarikat yang didaftarkan atas nama tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret, Chia Huey Ting. Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Tunas Muda, Sungai Ara.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum satu hingga 10 tahun serta sebatan dan denda.

Pendakwaan kes dikendalikan, Muhammad Sofi Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hazarul Iqram Rozahan.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM7,500 dengan seorang penjamin dan sebutan kes ditetapkan pada 19 November depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.