
TEMERLOH, 25 September – Seorang peladang kelapa sawit di Kuala Krau di sini kerugian RM301,777 selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp.
- Terima mesej WhatsApp daripada individu tidak dikenali menawarkan pelaburan menggunakan nama 'Prestige Prime'.
- Menekan pautan sebelum diarahkan membuat bayaran; melakukan 18 transaksi ke sembilan akaun antara 11 Ogos hingga September 2026.
- Kes disiasat bawah Seksyen 420; polis nasihat jangan mudah percaya tawaran pelaburan dan hubungi NSRC 997 atau buat laporan polis segera.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahron berkata, mangsa berusia 51 tahun menerima mesej WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang menawarkan pelaburan menggunakan nama ‘Prestige Prime’, kononnya mampu menambah pendapatan.
Menurutnya, mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan menekan pautan diberikan sebelum diarahkan membuat bayaran pelaburan ke beberapa akaun bank.
“Dari 11 Ogos hingga September 2026, mangsa membuat sebanyak 18 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM301,777.
“Wang terbabit adalah daripada simpanan mangsa selain pinjaman daripada adik-beradik dan rakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selepas semua transaksi dibuat, mangsa mendapati akaun pelaburan berkenaan telah disekat dan menyedari dirinya ditipu selepas tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu yang menawarkan pelaburan melalui telefon atau aplikasi media sosial, khususnya yang menjanjikan keuntungan.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak memuat turun aplikasi atau melakukan sebarang transaksi kewangan atas arahan individu tidak dikenali.
Mangsa penipuan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau membuat laporan polis dengan segera.