Penipuan pakej umrah, wanita rugi RM15,000

Foto fail

BESUT, 25 September – Seorang wanita warga emas berusia 63 tahun kerugian RM15,000 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pakej umrah yang ditawarkan sebuah syarikat pelancongan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjalanan umrah ditangguhkan dua kali atas alasan masalah visa.
  • Pengadu terkandas di KLIA dan dimaklumkan visa tidak diluluskan.
  • Beberapa laporan polis dibuat berkaitan kes sama; polis merakam percakapan dan mendapatkan maklumat pihak berkaitan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 420, hukuman termasuk penjara, sebatan dan denda; orang ramai diminta bantu siasatan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pengadu mendakwa membuat bayaran berjumlah RM15,000 bagi tiga individu melalui tiga transaksi ke dua akaun bank.

“Menurut pengadu, perjalanan umrah itu pernah ditangguhkan sebanyak dua kali atas alasan masalah visa.

“Pengadu kemudiannya terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dimaklumkan bahawa visa tidak diluluskan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, semakan awal turut mendapati lima laporan polis telah dibuat oleh individu berbeza berkaitan perkara sama.

Polis kini merakam percakapan pengadu dan saksi serta mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan termasuk syarikat pelancongan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta tampil membantu siasatan.

Polis turut menasihatkan bakal jemaah supaya menyemak status syarikat pengendali umrah serta mendapatkan pengesahan berkaitan pakej, penerbangan dan visa sebelum membuat bayaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.