Enam termasuk lima warga asing ditahan kes persundalan

Foto PDRM

KUCHING, 20 Oktober- Enam individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran dan kesalahan imigresen menerusi serbuan Op Noda di sebuah pusat urut di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan dijalankan oleh Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak.
  • Tangkapan melibatkan seorang lelaki tempatan dan lima warga asing berusia antara 26 hingga 49 tahun; beberapa barang dirampas untuk siasatan.
  • Premis dipercayai menawarkan perkhidmatan pelacuran warga asing dengan bayaran RM50 bagi setiap perkhidmatan.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen dengan hukuman berat jika sabit.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan kira-kira pukul 12.55 tengah hari itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan lima warga asing berusia antara 26 hingga 49 tahun. Polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai menawarkan perkhidmatan pelacuran oleh warga asing dengan bayaran RM50 bagi setiap perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, sebatan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Alexson menegaskan polis akan terus menjalankan operasi bagi membanteras aktiviti tidak bermoral dan menyalahi undang-undang demi menjaga ketenteraman serta keselamatan awam

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.