
SERI ISKANDAR, 27 September – Kematian ikan dalam kuantiti banyak di Tasik Iskandar, Seri Iskandar, dipercayai berpunca akibat peralihan cuaca dan kekurangan oksigen.
- Majlis Daerah Perak Tengah membuat aduan selepas menemui bangkai ikan dalam kuantiti banyak.
- IPD Perak Tengah bersama Jabatan Perikanan Perak dan JAS Perak hadir ke lokasi untuk siasatan.
- JAS mengambil sampel air; hanya dua jenis ikan, lampam dan jelawat, ditemui mati; orang ramai dinasihatkan tidak menular spekulasi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, aduan berkaitan kejadian dibuat pihak Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) selepas menjumpai bangkai ikan dalam kuantiti banyak di tasik tersebut.
Susulan laporan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bersama Jabatan Perikanan Perak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak telah hadir ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Sampel air kemudian telah diambil oleh pihak JAS untuk siasatan lanjut.
“Siasatan mendapati hanya dua jenis ikan iaitu lampam dan jelawat ditemukan mati di dalam tasik berkenaan.
“Jabatan Perikanan kemudian mengesahkan kejadian berpunca akibat peralihan cuaca dan kekurangan oksigen menjadi faktor kematian ikan tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian.