
TANJONG MALIM, 27 September – Seorang lelaki warga Pakistan ditahan bersama 100 karton rokok disyaki tidak bercukai di Jalan Douglas, Tanjung Malim, semalam.
- Pemeriksaan di bahagian belakang SUV menemui dua kotak besar berisi rokok tanpa setem cukai sah.
- Nilai keseluruhan rokok dianggarkan RM36,000; polis merampas SUV dan satu unit kunci alat kawalan jauh.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; barang rampasan diserahkan kepada Kastam dan Jabatan Kimia untuk analisis.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Khalid Mohamad berkata, suspek berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.00 tengah hari menerusi Op Taring Alpha 1.
Penahanan dibuat selepas anggota Cawangan Risik/Task Force Batalion 3 Bidor mengesan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan menemukan dua kotak besar mengandungi rokok yang disyaki tidak mempunyai setem cukai kastam yang sah.
“Nilai keseluruhan rokok dirampas dianggarkan bernilai RM36,000.
“Suspek merupakan pemastautin tetap di Malaysia dan bekerja sebagai pengusaha kedai runcit di Kangar, Perlis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Polis turut merampas SUV berkenaan bersama satu unit kunci alat kawalan jauh untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala barang rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.