Wanita orang asli hilang, SAR masuk hari kedua

Unit K9 bersama dua ekor anjing pengesan menjalankan operasi SAR di Kampung Lesong, Rompin

ROMPIN, 25 September – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita Orang Asli yang dilaporkan hilang di kawasan hutan paya Kampung Lesong, Kedaik, memasuki hari kedua hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa Kuang Poh, 73, dilaporkan hilang selepas keluar memancing kira-kira pukul 3 petang dan tidak pulang.
  • Operasi bermula pukul 8 pagi, melibatkan PDRM, JBPM, APM, PERHILITAN dan penduduk; Pos Kawalan dibuka di Kampung Lesong.
  • Unit K9 dengan dua anjing pengesan dikerah; pencarian dibuat di jalan balak ke Sungai Rompin dalam radius kira-kira 5 km.

Mangsa, Kuang Poh, 73, dilaporkan hilang selepas keluar memancing kira-kira pukul 3 petang Selasa lalu di kawasan hutan paya berkenaan, namun tidak pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Supritenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, operasi bermula pukul 8 pagi dan membabitkan PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), PERHILITAN serta penduduk kampung.

Beliau berkata, Pos Kawalan Polis (PKP) dibuka di Kampung Lesong bagi menyelaras operasi pencarian.

“Pada pukul 10.35 pagi, pasukan pencarian digerakkan ke kawasan hutan Zon Dua, manakala Unit K9 bersama dua ekor anjing pengesan tiba di PKP Kampung Lesong.

“Unit K9 kemudian menjalankan pengesanan pertama di sekitar jalan balak menghala ke Sungai Rompin, bersama tiga anggota polis dengan radius pencarian kira-kira lima kilometer (km) dari rumah mangsa,” katanya.

Sharif Shai berkata, setakat pukul 1.05 tengah hari tadi, mangsa masih belum ditemui.

Katanya, anak mangsa membuat laporan polis pada pukul 5.39 petang Rabu lalu selepas Kuang Poh tidak pulang ke rumah.

Operasi SAR hari pertama semalam dihentikan kira-kira pukul 6 petang berikutan keadaan semakin gelap dan faktor keselamatan, termasuk risiko ancaman binatang liar.

Operasi SAR hari kedua diteruskan sehingga pukul 6 petang ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.