
KLUANG, 25 September- Seorang lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dan syabu, seberat lebih 25 kilogram, minggu lalu.
- Didakwa mengedar heroin 17.842 kg dan syabu 8.109 kg di sebuah rumah di Taman Lian Seng pada 13 September.
- Mengaku bersalah memiliki syabu seberat 5.25 gram di ruang tamu rumah berkenaan.
- Dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana tinggal melebihi tempoh pas lawatan sosial sejak 8 Oktober tahun lalu.
Nanda Afrizal, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar heroin seberat 17.842 kilogram dan syabu seberat 8.109 kilogram di sebuah rumah di Taman Lian Seng, di sini, kira-kira 3.00 petang pada 13 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Dalam prosiding sama, Nanda mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki syabu seberat 5.25 gram di ruang tamu rumah berkenaan.
Lelaki itu turut dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas lawatan sosial pada 8 Oktober tahun lalu tanpa sebab munasabah.
Kes disebut semula pada 25 November bagi serahan laporan kimia untuk pertuduhan mengedar dan memiliki dadah.