
LABUAN, 27 September – Sebanyak 30,000 orang hadir memeriahkan Festival Kesenian Borneo (BAF) ke-13 2026 sepanjang penganjuran selama tiga hari bermula Jumaat lepas.
- Seni dan budaya disanjung sebagai bahasa sejagat yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
- Festival menjadi strategi JWP untuk memantapkan Labuan sebagai hab penganjuran acara dan pelancongan kebudayaan serantau.
- Program termasuk 'Sounds of Borneo' dan peragaan fesyen etnik serta lebih 100 jam karya kreatif dan persembahan pentas.
Festival anjuran Perbadanan Labuan itu melabuhkan tirai malam Ahad.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, kehadiran ribuan pengunjung membuktikan seni dan budaya sebagai bahasa sejagat yang berupaya menyentuh hati serta menyatukan semua tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, jumlah itu membuktikan tarikan kuat seni dan budaya yang menyumbang kepada kemeriahan festival menghimpunkan ratusan penggiat bidang itu dari seluruh negara selain Brunei, Indonesia serta Filipina.
“…kerana bidalan ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’, BAF terus diadakan dan menjadi acara yang dinantikan oleh semua penggiat seni khususnya, dan masyarakat, ” katanya pada majlis penutupan BAF 2026 di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, di sini.
Datuk Lo berkata, festival itu bukan sahaja acara seni tahunan tetapi juga menjadi sebahagian daripada strategi utama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk memperkukuh Labuan sebagai hab penganjuran acara dan pelancongan kebudayaan di rantau ini.
BAF 2026 menampilkan lebih 10 program utama termasuk ‘Sounds of Borneo‘ dan peragaan fesyen etnik, manakala lebih 100 jam karya kreatif dan persembahan pentas disajikan sepanjang acara itu.