KLIA berjaya kekalkan kedudukan keempat paling terhubung di dunia

Suasana di Anjung Tinjau KLIA Terminal 1 / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 September – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengekalkan kedudukan sebagai lapangan terbang antarabangsa keempat paling terhubung di dunia, selain kekal sebagai hab mega paling terhubung di Asia Pasifik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapasiti KLIA meningkat 6.9 peratus menurut Indeks Hab Mega OAG 2026.
  • MAHB menegaskan pencapaian cerminkan kekuatan rangkaian serta sokongan syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan industri.
  • Pertumbuhan bukan hanya pertambahan destinasi; perlu kapasiti mencukupi dan pengalaman penumpang yang lancar.
  • Rangkaian berkembang dengan tujuh syarikat baharu, sembilan laluan baharu dan penambahbaikan perkhidmatan serta kemudahan mesra penumpang.

Berdasarkan Indeks Hab Mega OAG 2026, kapasiti KLIA meningkat sebanyak 6.9 peratus.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pencapaian itu mencerminkan kekuatan dan keluasan rangkaian penerbangan KLIA hasil sokongan rakan kongsi syarikat penerbangan, pasukan lapangan terbang serta pihak berkepentingan industri.

Bagaimanapun, Datuk Mohd Izani berkata, pertumbuhan KLIA bukan sekadar bergantung kepada pertambahan destinasi, sebaliknya perlu dipadankan dengan kapasiti mencukupi serta pengalaman penumpang yang lancar.

“Itulah sebabnya tumpuan kami di KLIA melangkaui ketersambungan. Kami berusaha merentasi keseluruhan perjalanan penumpang dalam menjadikan KLIA lebih mudah, cekap serta mesra,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Setakat ini, KLIA menerima tujuh syarikat penerbangan berjadual baharu dan sembilan laluan baharu, termasuk sambungan ke Riyadh, Algeria dan Jinan.

Malaysia Airlines turut memperkukuh hubungan dengan Jepun menerusi perkhidmatan terus baharu Fukuoka-Kuala Lumpur.

Pengembangan rangkaian itu dijangka berterusan dengan Gulf Air, Hainan Airlines, ZIPAIR dan Thai Vietjet dijadual memulakan perkhidmatan menjelang akhir tahun ini.

Lufthansa pula akan kembali pada Oktober menerusi lima penerbangan seminggu antara Frankfurt dan Kuala Lumpur.

Datuk Mohd Izani berkata, MAHB menyasarkan untuk terus memperkukuh kedudukan KLIA sebagai hab mega paling terhubung di Asia Pasifik, seiring usaha memastikan kecemerlangan perkhidmatan berkembang bersama rangkaian penerbangan.

Antara penambahbaikan terkini ialah kemudahan daftar masuk dan layan diri yang dinaik taraf, pengurusan trafik menerusi Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) serta sistem e-hailing baharu di Terminal 1.

MAHB turut menambah troli penumpang, menyediakan kerusi roda dan kereta sorong bayi secara percuma serta memperluas kemudahan mesra keluarga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.