
JEMPOL, 25 September – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Jempol bakal menjadi SMKA pertama melaksanakan model Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus mengintegrasikan pendidikan agama, akademik dan kemahiran dalam satu ekosistem pembelajaran.
- Projek SMKA Jempol bernilai RM98 juta dijangka siap dalam tiga tahun.
- Tapak 35.14 ekar dengan 25 bilik darjah, makmal, bengkel, perpustakaan dan asrama kapasiti 750 murid.
- Kerajaan tingkatkan peruntukan penyelenggaraan 50% kepada RM1.5 bilion bagi 2027 termasuk sekolah agama; penekanan penguasaan pelbagai bahasa.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan model berkenaan akan membuka ruang kepada murid SMKA mengikuti pendidikan TVET bagi memenuhi keperluan industri dan negara, tanpa mengetepikan pendidikan serta amalan keagamaan.
“Ini merupakan sekolah model SMKA TVET yang pertama. Sebelum ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawarkan di kolej vokasional atau sekolah-sekolah biasa, namun kini kita akan membawa model TVET ini ke SMKA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di sini hari ini.
SMKA ke-65 bawah Kementerian Pendidikan itu dibangunkan dengan kos RM98 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Pembinaan SMKA Jempol turut merealisasikan penantian hampir 20 tahun masyarakat setempat terhadap keperluan sebuah sekolah agama di daerah berkenaan selain berharap agar pembinaan itu disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
Dibina di atas tapak seluas 35.14 ekar, sekolah itu akan dilengkapi 25 bilik darjah, makmal, bengkel, perpustakaan serta kemudahan asrama berkapasiti 750 murid.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fadhlina berkata, kerajaan terus memberi perhatian terhadap usaha memperkukuh ekosistem pendidikan Islam.
Ia termasuk peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2027 yang ditingkatkan 50 peratus, daripada satu bilion kepada RM1.5 bilion termasuk bagi sekolah agama.
Pada masa sama, penguasaan pelbagai bahasa dalam kalangan murid sekolah agama turut diberi penekanan bagi meningkatkan keupayaan komunikasi mereka.
“Anak-anak di sekolah agama sememangnya akan menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Pada masa yang sama, mereka juga perlu diberikan penekanan terhadap penguasaan bahasa-bahasa lain,” katanya lagi.
Penguasaan bahasa penting dalam memperluas keupayaan murid, termasuk menyampaikan kefahaman mengenai Islam dengan lebih berkesan.