Op Pedo 3.0: Remaja perempuan 13 tahun antara 53 individu ditahan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar

KUALA LUMPUR, 22 September – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun antara 53 individu ditahan dalam Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 3.0 bagi membongkar kegiatan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan eksploitasi seksual dalam talian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bersepadu dilaksanakan 14–16 Sept, libatkan 406 pegawai polis, 43 pegawai SKMM, 92 sasaran dan 52 serbuan berjaya.
  • Pemeriksaan menemui 540,127 fail CSAM dan 113,066 fail pornografi dewasa pada peranti dirampas.
  • Siasatan mendapati sesetengah suspek menghasilkan animasi eksploitasi kanak-kanak dan menjualnya dalam komuniti dalam talian.
  • 52 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata daripada 53 tangkapan itu, 52 merupakan warganegara Malaysia manakala seorang warga Bangladesh.

Kesemua mereka berusia antara 13 hingga 56 tahun.

Beliau berkata, dua daripada individu yang ditahan merupakan penjawat awam, masing-masing seorang guru dan pembantu makmal.

“Operasi berkenaan dilaksanakan serentak di seluruh negara dari 14 hingga 16 September lepas, membabitkan 406 pegawai dan anggota polis serta 43 pegawai SKMM dengan 92 sasaran.

“Daripada 92 sasaran itu, 52 serbuan berjaya dilaksanakan yang membawa kepada penahanan 53 individu, manakala 40 serbuan tidak membawa kepada tangkapan kerana tiada bahan bukti CSAM ditemui dalam peranti digital yang diperiksa,” katanya pada sidang media Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 3.0, hari ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa turut merampas pelbagai peranti digital dan barang kes, dengan pemeriksaan menemukan 540,127 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak serta 113,066 fail pornografi dewasa.

“Siasatan mendapati mereka bukan sahaja mengakses bahan berkenaan, malah menghasilkan kandungan berbentuk animasi dan menjualnya kepada komuniti dalam talian yang mempunyai kecenderungan sama.

“Anak-anak kita daripada sudut penggunaan media sosial ini jauh lebih mahir dan lebih ke hadapan berbanding orang dewasa. Jadi pemerhatian berterusan mesti dibuat dan perkara ini mesti bermula daripada rumah,” katanya.

M. Kumar berkata, sebanyak 52 kertas siasatan dibuka mengikut beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Penapisan Filem 2002.

Tambahnya, sejak Op Pedo dilaksanakan, sebanyak 597 tangkapan dibuat dengan 214 barang kes dirampas, selain penemuan 1,573,153 fail CSAM dan bahan pornografi.

Katanya, 23 individu telah dituduh di mahkamah setakat 21 September lalu, manakala 29 lagi masih dalam siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.