
MOSCOW, 26 September – Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan sistem pertahanan udaranya memintas 592 dron Ukraine di 19 lokasi serta Laut Hitam antara 8.00 malam (Khamis) hingga 8.00 pagi (Jumaat) waktu tempatan.
- Rusia lancarkan serangan udara intensif, mengakibatkan kematian dan kecederaan di beberapa wilayah Ukraine.
- Di Perm, 39 dron ditembak jatuh; kemudahan perindustrian diserang dan seorang terbunuh.
- Di Samara, kereta api penumpang rosak, pemandu cedera; penumpang tidak terjejas.
- Di Rostov loji penapisan minyak rosak dan terpaksa menghentikan operasi buat sementara waktu.
Pada masa sama, Ukraine mendakwa negara itu berdepan serangan udara Rusia secara intensif yang mengorbankan beberapa nyawa serta mencederakan penduduk di beberapa kawasan.
Di wilayah Perm, Gabenor Dmitry Makhonin berkata 39 dron berjaya ditembak jatuh, manakala sebuah kemudahan perindustrian terkena serangan dan seorang terbunuh.
Di wilayah Ulyanovsk pula, Gabenor Alexei Russkikh berkata lapan orang cedera dalam serangan dron ke atas ibu negeri itu.
Menurutnya, serangan berkenaan turut merosakkan infrastruktur perindustrian dan awam.
Sementara itu, Gabenor Samara, Vyacheslav Fedorishchev berkata, sebuah kereta api penumpang mengalami kerosakan dalam serangan berkenaan, menyebabkan pemandunya cedera, manakala semua penumpang tidak terjejas.
Di wilayah Rostov di pesisir Laut Hitam, Gabenor Yuri Slyusar melaporkan, kira-kira 50 dron berjaya dimusnahkan, namun serangan itu menyebabkan sebuah loji penapisan minyak rosak dan terpaksa menghentikan operasi buat sementara waktu.
Ketika Rusia berdepan serangan dron berkenaan, Ukraine pula mengalami serangan udara Rusia secara intensif yang mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan di seluruh negara itu.
Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko menerusi hantaran media sosial pada Jumaat memaklumkan, serangan udara ke atas bandar itu menyebabkan seorang terbunuh dan sembilan lagi cedera setakat 10.28 pagi waktu tempatan.
Daerah Pecherskyi di tengah Kiev paling terjejas dengan tujuh orang dilaporkan cedera.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi hantaran di media sosial pada hari sama melaporkan, lapan wilayah Ukraine selain ibu negara menjadi sasaran serangan udara.
Serangan itu mengorbankan seorang di Odesa, selain menyebabkan beberapa lagi cedera di wilayah Sumy dan Mykolaiv.
Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-81 di New York pada Rabu, Zelensky mengakui musim sejuk yang bakal tiba mungkin amat sukar bagi rakyat Ukraine.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran Rusia turut akan berdepan akibatnya, termasuk kemungkinan serangan balas terhadap infrastruktur tenaga Rusia sekiranya Moscow meneruskan serangan terhadap sistem tenaga dan kemudahan pemanasan Ukraine.- REUTERS