Tiga pelakon teater diambil keterangan didakwa persenda Rukun Negara

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar/Foto Facebook JSJ PDRM

KUALA LUMPUR, 22 September – Tiga daripada lima pelakon sebuah pementasan teater telah diambil keterangan berhubung rakaman persembahan yang tular di media sosial baru-baru ini dan didakwa menyentuh institusi raja serta Rukun Negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Satu pelakon dipercayai meninggal dunia, manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom menurut rekod imigresen.
  • Pementasan itu berlangsung secara tertutup di Penang Art Centre pada 2018 dan tiada laporan polis dibuat ketika itu.
  • Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata tiga individu terbabit terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia 47, 28 dan 29 tahun.

Beliau berkata, seorang lagi daripada lima pelakon terbabit telah meninggal dunia, manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen.

“Ketiga-tiga mereka telah kita tangkap untuk siasatan lanjut dan telah diberi jaminan polis sementara melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media Op Pedo Bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 3.0, hari ini.

Katanya, pementasan berkenaan berlangsung secara tertutup di Penang Art Centre (PAC), Pulau Pinang pada 2018 dan tiada laporan polis dibuat berhubung persembahan itu.

“Sekarang ini ada pihak yang menularkan semula video yang berlaku pada 2018 dan kita telah mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu Rukun Negara yang ditularkan itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis turut menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang menularkan semula rakaman berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap telefon pintar tiga individu yang diambil keterangan tidak menemukan sebarang kandungan berkaitan pementasan atau rakaman yang tular itu.

M. Kumar berkata, polis masih menyiasat latar belakang kumpulan terbabit serta keadaan sebenar pementasan berkenaan, termasuk aspek penganjurannya.

“Buat masa ini, siasatan masih berjalan dan kita akan rujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan serta nasihat selanjutnya,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.