
KOTA BHARU, 22 September – Beberapa ketua balai di Kelantan didapati gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menahan seorang penagih setiap hari seperti yang ditetapkan dalam pelan strategi baharu yang bermula 15 Julai lalu.
- Beberapa ketua balai menerima surat teguran kerana tiada tangkapan dalam tempoh seminggu.
- Enam hingga tujuh ketua balai di beberapa daerah rekod tiada tangkapan penagih dalam seminggu.
- IPK akan turun ke balai berkenaan dan OCS yang gagal akan dikenakan tindakan.
- Ketua JSJN akan memberi taklimat mingguan berhubung statistik tangkapan; beberapa balai melebihi sasaran.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat berkata, terdapat ketua balai yang tidak melakukan tangkapan dalam tempoh seminggu sehingga menyebabkan menerima surat teguran.
Beliau berkata, setakat ini terdapat enam hingga tujuh ketua balai membabitkan beberapa daerah yang merekodkan tiada tangkapan penagih dadah dalam tempoh seminggu.
“Walau bagaimanapun, kita akan terus memantau mana-mana balai yang tidak mencapai sasaran satu satu kes sehari. Kita akan memastikan IPK akan turun ke balai berkenaan bagi memastikan sasaran itu dicapai dan OCS yang gagal akan dikenakan tindakan”, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.
Katanya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan memberi taklimat mingguan berhubung statistik tangkapan mengikut KPI, namun terdapat balai yang berjaya merekodkan tangkapan melebihi sasaran.
Polis Kelantan memperkenalkan pelan strategi baharu dalam usaha membanteras pengedaran dadah di negeri itu termasuk setiap ketua balai perlu menahan sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari bermula 15 Julai lalu.