
KUALA LUMPUR, 15 September – Sebanyak 38 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 12 tengah hari ini, dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana sekiranya bacaan melebihi 150 selama lebih 24 jam.
- JAS melaksanakan Pelan Tindakan Jerebu; hentikan aktiviti luar bilik darjah jika IPU >100 dan sekolah, tadika, taska boleh ditutup jika IPU melebihi 200.
- ASMC mengesan 800 titik panas di Kalimantan dan 85 di Sumatera, menyumbang jerebu rentas sempadan ke Semenanjung Malaysia, Singapura, selatan Viet Nam dan Kemboja.
- Tindakan penguatkuasaan tegas terhadap pembakaran terbuka di bawah pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 2024; denda tinggi dan hukuman penjara, orang ramai diminta melapor.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, mekanisme itu ditetapkan menerusi Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi memastikan tindakan menangani situasi jerebu dilaksanakan mengikut tahap dan perkembangan semasa.
Menurutnya, antara tindakan yang digariskan ialah penghentian aktiviti luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska boleh ditutup apabila bacaan melebihi 200.
“Operasi Pembenihan Awan juga akan dilaksanakan sekiranya bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam, tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Daripada 38 kawasan yang mencatatkan tahap tidak sihat itu, bacaan tertinggi direkodkan di Johan Setia, Selangor dan IPD Serian, Sarawak, masing-masing 185, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (172), Shah Alam dan Tangkak (170), serta Putrajaya dan Pasir Gudang (169).
Sebanyak 30 kawasan lain merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana, manakala tiada kawasan mencatatkan status baik.
Keadaan itu berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian Rantau Selatan ASEAN.
Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada 14 September, sebanyak 800 titik panas dikesan di Kalimantan, 85 di Sumatera dan 16 di Malaysia, masing-masing enam di Sabah, sembilan di Sarawak dan satu di Selangor.
ASMC turut melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana di Semenanjung Malaysia, Singapura serta bahagian selatan Viet Nam dan Kemboja pada 15 September, manakala jerebu sederhana hingga tebal dikesan di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan.
Dalam pada itu menurut beliau, JAS memberi perhatian khusus terhadap kejadian kebakaran di Sarawak, terutama membabitkan kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah berikutan risiko kebakaran yang lebih tinggi ketika cuaca panas dan kering.
Di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei, kebakaran membabitkan kawasan seluas 1.5 hektar dengan kira-kira 1.3 hektar atau 87 peratus berjaya dipadamkan, manakala baki 0.2 hektar masih dalam tindakan pemadaman.
JAS Sarawak akan meneruskan pemantauan di lokasi kebakaran termasuk menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran terkini status kebakaran dan keluasan kawasan terjejas.
Pemantauan kualiti udara turut dilaksanakan bagi menilai potensi kesan kebakaran terhadap kualiti udara setempat, manakala tindakan susulan akan ditentukan berdasarkan keadaan di lapangan serta penilaian bersama agensi berkaitan.
Pada masa sama, pemantauan terhadap bacaan IPU, titik panas dan perkembangan jerebu rentas sempadan akan diteruskan dengan mengambil kira maklumat meteorologi bagi menilai situasi serta menyelaras tindakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang dikenal pasti berpunca daripada aktiviti manusia, khususnya sekiranya menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.
Selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya. Kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum turut boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.
Orang ramai diminta tidak melakukan pembakaran terbuka ketika keadaan cuaca panas dan kering serta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727.
Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS.