
MANJUNG, 15 September – Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran dan pemerdagangan orang di daerah Manjung menerusi 13 operasi dan serbuan sepanjang Januari hingga September, tahun ini.
- 384 individu ditahan berkaitan penyeludupan migran, termasuk kanak-kanak dan warga asing serta tempatan.
- 320 orang didakwa di bawah Akta ATIPSOM 2007; beberapa pertuduhan juga di bawah Akta Imigresen.
- Cubaan menyeludup keluar 5.8 kilogram meth ditumpaskan; suspek warga Indonesia didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari berkata, operasi dijalankan hasil risikan serta kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Beliau berkata, menerusi 11 operasi berkaitan penyeludupan migran, seramai 384 individu ditahan. Ia terdiri 368 warga Indonesia serta sembilan kanak-kanak Indonesia, dua warga Bangladesh dan lima warga tempatan.
“Sebanyak 11 kertas siasatan telah dibuka daripada serbuan-serbuan yang telah dibuat dan hasilnya 320 orang yang ditangkap dan telah dituduh dengan pelbagai jenis kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM 2007).
“… dan pelbagai lagi kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Imigresen 1959/1963”, katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Bitcoin, Kontraban dan Judi Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.
Sementara itu, dua operasi bagi membanteras aktiviti pemerdagangan orang membawa kepada penahanan tiga warga tempatan, manakala empat berjaya diselamatkan, terdiri daripada dua kanak-kanak warga Myanmar dan dua lelaki warga India.
Polis turut menahan 13 migran warga Myanmar kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau permit masuk yang sah.
Dalam perkembangan berkaitan, pada 18 Ogos lalu polis turut menumpaskan cubaan menyeludup keluar sebanyak 5.8 kilogram dadah disyaki methamphetamine bernilai kira-kira RM185, 600.
Menurutnya, suspek merupakan seorang lelaki warga Indonesia, dipercayai antara migran yang ditahan dalam operasi berkenaan dan telah didakwa secara tentatif mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya pada 28 Ogos lalu.