
MANJUNG, 15 September – Polis Perak mencadangkan penubuhan 10 pos kawalan kekal, Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memperkukuh kawalan keselamatan serta membanteras jenayah rentas sempadan di negeri itu.
- Cadangan melibatkan empat daerah: Manjung, Bagan Datuk, Taiping dan Kerian.
- Kawasan berpotensi dieksploitasi untuk pendaratan PATI, penyeludupan kontraban, pemerdagangan manusia dan transit dadah.
- PDRM mohon satu platun PGA (1 pegawai, 30 anggota) setiap pos, rondaan 24 jam bersama RELA; permohonan diangkat ke Bukit Aman.
Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari berkata, cadangan itu melibatkan empat daerah iaitu di Manjung, Bagan Datuk, Taiping dan Kerian.
Beliau berkata kawasan berkenaan berpotensi dieksploitasi sindiket bagi aktiviti pendaratan tidak sah pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan barangan kontraban pemerdagangan manusia dan transit dadah.
“Perbandingan jumlah pos PGA di negeri Selangor ada sebanyak 20 pos kekal, manakala di Johor pun ada 22 pos, berbanding di negeri Perak hanya ada satu, jadi pos kekal PGA dengan jarak antara pesisir pantai di negeri Perak 158 kilometer.
“Jadi disebabkan kawalan ketat negeri di selatan itu, kita percaya laluan negeri Perak ini menjadi laluan yang popular untuk kemasukan”, katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Bitcoin, Kontraban dan Judi Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, di sini hari ini.
Tambahnya jumlah penahanan PATI di empat daerah tersebut meningkat kepada lebih 29 peratus atau 419 tangkapan pada 2025 berbanding hanya 323 kes pada 2024.
Angka itu terus melonjak kepada 728 tangkapan atau lebih 73 peratus setakat Ogos tahun ini yang didorong impak positif projek penambahan pos PGA di Selangor yang dilaksanakan pada 2024.
Sementara itu, bagi tempoh 2021 hingga Ogos 2026, Pasukan Polis Marin pula merekodkan tangkapan terhadap 69 individu di bawah Akta Imigresen, 24 kes ATIPSOM serta 85 kes Akta Kastam, dengan nilai rampasan lebih RM15.8 juta.
Dokumen permohonan dan kelulusan berkaitan hak pewartaan tapak kini telah diangkat ke peringkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk tindakan akhir.
Sebagai langkah jangka pendek, PDRM Perak telah melaksanakan operasi bersepadu PATI berskala besar di daerah Manjung bermula 1 September lalu dengan bantuan PGA.
PDRM turut memohon kekuatan satu platun PGA, membabitkan seorang pegawai dan 30 anggota bagi setiap pos baharu, dengan rondaan 24 jam secara sinergi bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah.