
KUALA LUMPUR, 10 September – Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi optimis kuartet 4×100 meter (m) lelaki mampu mencipta kejutan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang membuka tirai pada 19 September ini.
- Persiapan skuad lebih rapi, gabungan pelari muda dan berpengalaman meningkatkan kesiapsiagaan.
- Kehadiran Danish Iftikhar, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Muhammad Umaira Subri beri keyakinan kepada kuartet.
- Azeem teruja memimpin sebagai kapten dan percaya rakan sepasukan mampu cipta kejutan dengan pertukaran baton lancar.
- Dalam acara 100m, sasaran utama Azeem adalah layak ke final dahulu sebelum buru pingat.
Azeem, 22, berkata persiapan skuad olahraga kali ini lebih rapi berbanding edisi terdahulu, selain dibarisi kombinasi pelari muda dan berpengalaman.
Katanya, kehadiran pelari muda seperti Danish Iftikhar bersama Pengiran Aidil Auf Hajam dan Muhammad Umaira Subri memberi keyakinan terhadap kemampuan kuartet negara.
“Saya sangat teruja untuk memimpin pasukan selaku kapten. Saya tidak pernah meragui kemampuan rakan sepasukan sejak menyertai skuad kebangsaan dan berkemungkinan besar akan ada kejutan daripada pasukan relay lelaki, insya-Allah,” katanya.
Azeem berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sukan Asia 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, baru-baru ini.

Dalam acara 100m individu, pemenang gangsa Sukan Asia Hangzhou 2023 itu berkata beliau tidak lagi hadir ke temasya berkenaan sekadar mahu melakukan yang terbaik.
Sebaliknya, pelari kelahiran Perak itu menyasarkan tempat ke final terlebih dahulu sebelum memburu peluang untuk mengulangi kejayaan meraih pingat.
“Ini edisi kedua Sukan Asia buat saya. Walaupun ramai pelari senior dan lebih berpengalaman di rantau Asia, sasaran utama saya adalah layak ke final dahulu.
“Jika berjaya ke final, saya yakin dengan kemampuan diri bahawa perkara yang sama atau lebih baik mampu dicapai,” katanya.
Mengulas peluang kuartet 4x100m, Azeem mengakui Malaysia bukan pilihan utama berdasarkan rekod dan catatan masa berbanding kuasa besar Asia seperti Jepun, China dan Korea Selatan.
Namun, beliau percaya apa sahaja boleh berlaku pada hari perlumbaan, terutama dalam acara yang bergantung kepada kelancaran pertukaran baton dan prestasi setiap pelari.
“Di atas kertas, kami mungkin underdog, tetapi pada hari perlumbaan, apa sahaja boleh berlaku. Jadi, kami boleh beraksi tanpa tekanan dan cuba mencipta kejutan,” katanya.