Banjir Penampang: 118 penduduk dipindahkan, Sungai Moyog lepasi paras bahaya

Keadaan banjir di Penampang malam tadi / Foto orang awam

KOTA KINABALU, 2 Oktober – Seramai 118 penduduk terjejas daripada 41 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Penampang, pagi ini selepas daerah itu dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak lewat malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPBD Penampang mengisytiharkan kejadian sebagai bencana selepas menerima laporan dan maklumat agensi berkaitan pada 10.40 malam.
  • Paras Sungai Moyog kini mencecah 9.12 meter, melepasi paras bahaya.
  • Banjir menjejaskan 15 kampung dan kawasan perumahan, antaranya Penampang Proper, Kolopis, Sarapung dan Dabak.
  • Pihak berkuasa dan agensi keselamatan memantau, orang ramai dinasihatkan ikut arahan serta berpindah segera jika perlu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang mengisytiharkan kejadian itu sebagai bencana pada 10.40 malam tadi selepas menerima laporan dan maklumat daripada agensi berkaitan.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, PPS Kompleks Sukan Penampang menempatkan jumlah penduduk dipindahkan tertinggi iaitu 40 orang daripada tujuh keluarga, diikuti PPS Dewan Huguan Siou dengan 31 mangsa daripada 11 keluarga.

PPS Penampang Parish Hall pula menempatkan 29 orang daripada 16 keluarga, manakala PPS St Paul Kolopis menempatkan 18 individu daripada tujuh keluarga.

Keadaan turut membimbangkan apabila paras Sungai Moyog kini mencecah 9.12 meter, iaitu melepasi paras bahaya.

Banjir dilaporkan menjejaskan 15 kampung dan kawasan perumahan, antaranya Kampung Penampang Proper, Kolopis, Sarapung, Dabak, Tanaki, Pagansakan, Nambazan, Huba, Kibabaig, Limbanak, Penampang Kondis, Sugud, Pinapah, Vista Kiranau dan Kambau.

Sebanyak 12 laluan turut dinaiki air namun masih boleh dilalui, termasuk Jalan Tanaki-Bandason, Jalan Vista Kiranau, Jalan Inobong, Jalan Kampung Putaton, Jambatan Pagansakan, Jalan Sarapung, Jalan Kolopis-Boliga dan Jalan Bantazon-Kolopis.

Turut terjejas ialah Jalan Bontozon-Kampung Sarapung, Jalan Huba-Nambazan, Jalan Panglima Banting dan Jalan Kasigui.

Pihak berkuasa tempatan bersama agensi keselamatan kini terus memantau kawasan terjejas.

Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai, dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa serta berpindah segera sekiranya keadaan bertambah buruk.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.