
KULAI, 29 Ogos – Seramai 69 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam enam operasi penguatkuasaan di sini pada Jumaat, atas pelbagai kesalahan imigresen.
- Dua warga tempatan, pegawai sumber manusia kilang, turut ditahan dalam operasi berkenaan.
- Pemeriksaan menyeluruh terhadap status, dokumen perjalanan, penggajian, ketulenan pas dan pematuhan syarat majikan.
- Enam operasi serentak dijalankan, termasuk Op Mahir, Op Selera, Op Kutip, Op Minyak, Op Belanja dan Op Sapu.
- Suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963; dihantar ke Depot Imigresen Setia Tropika.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, pemeriksaan dijalankan di beberapa lokasi termasuk kilang elektronik, premis mencuci kenderaan, rumah kedai yang dipercayai dijadikan tempat tinggal serta premis makanan yang menggajikan warga asing.
“Turut ditahan dua warga tempatan yang merupakan pegawai sumber manusia di kilang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan turut meliputi status dan dokumen perjalanan warga asing, termasuk aspek penggajian, ketulenan pas dan permit serta pematuhan syarat yang ditetapkan kepada majikan.
Operasi bermula kira-kira pukul 2.30 petang itu melibatkan Op Mahir, Op Selera, Op Kutip, Op Minyak, Op Belanja dan Op Sapu yang menyasarkan premis perniagaan serta kediaman.
Hasil pemeriksaan mendapati 69 warga asing berusia antara 24 hingga 45 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Jumlah itu membabitkan 32 warga Myanmar, lapan warga Indonesia, empat warga India, lima warga Pakistan, 13 warga Nepal dan tujuh warga Bangladesh.
Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Dalam operasi itu, sebanyak tujuh Borang 29, iaitu saman kepada saksi, turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.