
PUTRAJAYA, 16 Oktober – Laporan awal berhubung nahas maut membabitkan sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Bario, Miri, Sarawak telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Jumaat.
- Laporan awal dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan.
- Laporan penuh masih perlu ditunggu dan disemak.
- Datuk Seri Fahmi memaklumkan maklumat lanjut boleh dirujuk kepada Menteri Pengangkutan.
- Nahas helikopter di Long Lellang pada 8 September mengorbankan lima, termasuk empat petugas kesihatan bertugas.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, laporan itu dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan susulan kenyataan sebelum ini bahawa perkara berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, beliau berkata, laporan penuh mengenai kejadian itu masih perlu ditunggu.
“Memandangkan ini laporan awal, kita perlu menunggu laporan penuh. Pembentangan itu susulan kenyataan Menteri Pengangkutan semalam bahawa perkara ini akan dibawa ke Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri, di sini.
Datuk Seri Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, maklumat lanjut mengenai kejadian itu boleh dirujuk kepada Menteri Pengangkutan.
Nahas helikopter FDS di Long Lellang pada 8 September lalu mengorbankan lima individu, termasuk empat petugas kesihatan yang sedang menjalankan tugas rasmi bagi menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat pedalaman.