
BALIK PULAU, 16 Oktober – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan hampir 1,600 tan metrik stok penimbal ikan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.
- Lebih 2,000 peniaga ikan import dilibatkan untuk memastikan kesinambungan bekalan sepanjang MTL.
- Kerjasama swasta melalui MoU menyokong LKIM bagi mengatasi kelewatan penghantaran atau kekurangan bekalan.
- Stok ikan tidak boleh disimpan terlalu lama kerana menjejaskan kesegaran dan kandungan zat.
- JBPM ramal tiga gelombang hujan semasa MTL, dengan Pantai Timur terlibat, fasa peralihan tamat hujung bulan.
Selain itu, lebih 2,000 peniaga ikan import turut menjadi antara mekanisme bagi memastikan kesinambungan bekalan ikan sepanjang tempoh berkenaan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, persediaan itu turut disokong oleh organisasi swasta menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi memastikan bekalan ikan dapat diteruskan sekiranya berlaku kelewatan penghantaran atau kekurangan bekalan di pasaran.
“Tempoh penyimpanan ikan tidak boleh terlalu lama kerana ia akan menjejaskan kesegaran dan kandungan zatnya. Apabila stok dikeluarkan, kita akan menambah semula bekalan, terutama ketika musim tertentu yang mencatatkan hasil tangkapan yang banyak.
“Di kompleks pendaratan ikan yang mempunyai peti sejuk atau bilik sejuk, stok akan diserahkan kepada persatuan nelayan untuk diuruskan,” katanya selepas menghadiri Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama-sama Nelayan di Teluk Bahang.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan tiga gelombang hujan dijangka berlaku sepanjang MTL tersebut, khususnya di Pantai Timur.
Fasa peralihan monsun pula dijangka berakhir pada hujung bulan ini sebelum musim tengkujuh bermula bulan depan.