
PUTRAJAYA, 16 Oktober – Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) di bawah Kementerian Kesihatan akan dijenamakan semula sebagai PeKa Sihat, selepas cadangan berhubung penambahbaikan program itu dipersetujui Jemaah Menteri.
- Penjenamaan semula selaras dengan keberkesanan program dalam membantu menangani penyakit tidak berjangkit.
- Kementerian Kesihatan sedang menyelaras pelbagai langkah untuk memperkukuh pelaksanaan dan meningkatkan keberkesanan program.
- Antara langkah adalah mengurangkan kesesakan di klinik dengan menggunakan premis atau klinik yang terlibat, butiran lanjut akan diumumkan.
Menteri Komunikasi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan, penjenamaan semula itu selaras dengan keberkesanan program berkenaan dalam membantu menangani penyakit tidak berjangkit atau non-communicable diseases (NCD).
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan kini sedang menyelaras beberapa perkara bagi memperkukuh pelaksanaan serta meningkatkan keberkesanan PeKa Sihat.
“Dan ada beberapa perkara yang sedang diselaras oleh Kementerian Kesihatan untuk membolehkan PeKa B40 ini berkesan… lebih berkesan, termasuk untuk mengurangkan kesesakan di klinik-klinik kesihatan dengan menggunakan premis-premis ataupun klinik-klinik yang terlibat dalam program PeKa B40”, katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Datuk Seri Fahmi berkata, butiran lanjut mengenai penjenamaan semula serta penambahbaikan program itu akan diumumkan Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat.