
KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Enam inovasi cip semikonduktor tempatan yang dibangunkan syarikat Semiconductor IC Design Park mempunyai anggaran potensi jualan keseluruhan kira-kira RM300 juta, sekali gus membuka peluang pengkomersialan teknologi tempatan dalam industri semikonduktor global.
- Enam cip tempatan memperlihat keupayaan negara beralih daripada pembuatan kepada penciptaan dan pemilikan teknologi.
- Cip-cip dibangunkan termasuk MARS1000, MaiStorage, Silicon X FPGA, FC Mini, Maxwell dan Conan.
- Tumpuan seterusnya memastikan penerimaan pelanggan, memenuhi kelayakan industri dan pengkomersialan produk.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pembangunan inovasi itu mencerminkan keupayaan syarikat tempatan menghasilkan teknologi sendiri untuk pelbagai aplikasi industri.
“Lima dekad lalu, Malaysia membina nama sebagai sebuah negara yang dipercayai dalam industri semikonduktor dunia.
“Hari ini, enam inovasi cip tempatan ini memperlihat keupayaan kita untuk melangkah daripada pembuatan kepada penciptaan dan pemilikan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Malaysia’s Next Generation of Semiconductor Innovations: Six Homegrown Chips sempena AiSEM@Selangor 2026 di sini hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Inovasi yang dibangunkan SkyeChip menerusi MARS1000, pemproses AI pinggir (edge AI); MaiStorage (aiDAPTIV+, penyelesaian storan untuk sistem AI) dan Silicon X (cip tatasusunan get boleh atur cara di lapangan (field-programmable gate array atau FPGA) merupakan yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.
Sementara itu Alphaswift Industries pula menghasilkan FC Mini, pengawal penerbangan dron, Infinecs Systems (Maxwell, pengawal voltan untuk sistem elektronik kenderaan) dan Weeroc Space (Conan, cip pengawal kuasa untuk satelit serta sistem angkasa lepas).
Akmal Nasrullah berkata langkah seterusnya adalah memastikan teknologi itu diterima pakai oleh pelanggan, memenuhi keperluan kelayakan industri dan dikembangkan menjadi produk komersial yang berjaya.
AiSEM@Selangor 2026 berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober di ibu negara bagi memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.