
DUNGUN, 29 Ogos – Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya terbalik di perairan Pulau Tenggol, dekat sini, Khamis lalu, diperluas sehingga 175.4 batu nautika persegi.
- Operasi memasuki hari ketiga melibatkan 70 anggota pelbagai agensi dan bantuan komuniti nelayan.
- Operasi menggunakan bot Perkasa 1249 dan Kapal Maritim KM Jujur dengan sokongan PDRM, Jabatan Bomba dan Jabatan Laut.
- Polis turut menggunakan dron bagi membantu pencarian mangsa.
- Mangsa, Sabrie Rusli, 32, dikhuatiri hilang selepas bot gentian kaca terbalik; dia sempat hubungi isteri sebelum dipercayai jatuh ke laut.
Menerusi kenyataan, Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi mencari mangsa, Sabrie Rusli, 32 tahun, yang memasuki hari ketiga, melibatkan 70 anggota pelbagai agensi dibantu komuniti nelayan.
“Operasi itu menggunakan bot Perkasa 1249 dan Kapal Maritim (KM) Jujur dan turut dibantu aset daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Laut.
Selain itu, pihak polis turut menggunakan dron dalam pencarian mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, isteri mangsa, Amira Syahida Mat Hassan, 30 tahun, bersama tiga anak mereka yang berusia antara enam hingga 12 tahun turut berada di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Kuala Dungun bagi mengikuti perkembangan operasi.
Media semalam melaporkan, Sabrie dikhuatiri hilang selepas bot gentian kaca yang dinaikinya terbalik di perairan Pulau Tenggol kira-kira jam 5 petang, Khamis lalu.
Mangsa dalam perjalanan pulang selepas keluar menangkap ikan seorang diri pada pukul 9 pagi sebelum bot dinaikinya terbalik.
Sabrie juga dikatakan sempat menghubungi isterinya untuk meminta bantuan sebelum dipercayai terjatuh ke dalam laut.