
KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Dua beradik maut akibat luka tikaman di leher dalam kejadian membabitkan kematian empat sekeluarga di sebuah kondominium di Desa ParkCity, di sini, semalam.
- Bedah siasat terhadap ibu mendapati punca kematian akibat kecederaan trauma tajam pada leher dan dada.
- Siasatan berkaitan dakwaan love scam termasuk kerugian dan hutang RM260,000 sedang dijalankan.
- Pasukan forensik HKL bersama PDRM menjalankan pemeriksaan lokasi untuk mengesahkan kronologi dan kemungkinan suspek bertindak sendirian.
Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Fadil Marsus berkata, hasil bedah siasat mendapati anak perempuan dan anak lelaki masing-masing maut akibat luka tikaman di leher.
Katanya, bedah siasat terhadap ibu mereka pula mendapati punca kematian akibat kecederaan trauma tajam pada leher dan dada.
“Bedah siasat terhadap tiga mangsa sudah selesai, manakala bedah siasat terhadap bapa dijadualkan bermula 2 petang ini selepas pemeriksaan di tempat kejadian selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil berkata, pasukan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) bersama PDRM turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian pagi ini.
Menurutnya, siasatan berkaitan dakwaan love scam, termasuk kerugian dan hutang RM260,000, masih dijalankan.
“Siasatan juga masih dijalankan bagi mengesahkan kronologi kejadian serta dakwaan suspek bertindak sendirian membunuh isteri dan dua anak sebelum membunuh diri,” katanya.
Beliau berkata, keempat-empat mayat masih belum dituntut dan hanya akan dituntut selepas bedah siasat terhadap bapa selesai, yang dijangka sekitar 6 petang ini.
Fadil berkata, pihak keluarga mengetahui masalah love scam yang dihadapi mangsa serta penglibatan dalam pelaburan haram.
Semalam media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditemui mati di bangunan kediaman terbabit.
Manakala isteri lelaki berkenaan yang berusia 47 tahun serta dua kanak-kanak, masing-masing perempuan dan lelaki berusia sembilan dan tujuh tahun, turut ditemukan di dalam kediaman tersebut.
Ketiga-tiga mangsa didapati mengalami kecederaan parah pada bahagian leher.